Kata beliau, konvensyen keempat Pakatan Rakyat yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu akan menumpukan kepada perkara pokok yang turut terdapat dalam Buku Jingga.
“Kita mengambil teras-teras utama seperti pendidikan yang amat penting. Sebab itu tawaran pendidikan percuma ini kita konsisten. Daripada anak darjah satu sehinggalah mereka dapat ijazah pertama," katanya.
Tambah Salahuddin, perkara lain yang menjadi tumpuan pastinya hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan wanita.
“Keduanya tentang kebajikan kaum wanita yang kita anjurkan caruman untuk mereka mendapat imbuhan. Ini juga penting untuk kita menghargai kaum wanita. Mereka boleh dapat setiap bulan,“ katanya lagi.
Wanita Pakatan Rakyat yang diketuai bersama oleh Zuraida Kamaruddin dari PKR, Chong Eng (DAP) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas) telah berjaya menerbitkan satu polisi yang dipanggil “Agenda Wanita Malaysia” baru-baru ini.
Selain itu kata Salahuddin, tumpuan tentunya akan diberikan kepada hal-hal yang berkaitan dengan kos sara hidup rakyat.
Pakatan Rakyat katanya, komited dalam memastikan harga barangan terutama petrol akan diturunkan.
“Semakan kepada skim gaji kakitangan awam juga penting supaya tidak berlakunya golongan atau sektor yang tercicir dalam perkhidmatan awam khususnya mereka yang berpendapatan rendah,“ ujarnya lagi.
Buku Jingga merupakan satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang diperkenalkan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 2010.
Ia bagi menangani krisis ekonomi, kerosakan institusi negara, ketegangan masyarakat berbilang kaum, bebanan rakyat, hak rakyat yang dinodai dan gejala rasuah yang berleluasa.
Buku Jingga turut menggariskan agenda 100 hari pertama pentadbiran Pakatan sekiranya diberi peluang menerajui negara.
Antaranya merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun.
Bagi mengurangkan bebanan rakyat dihimpit pembayaran tol, Buku Jingga menyatakan langkahnya untuk menyelaras badan-badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.
Struktur gaji pendidik juga dirombak bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan