Khamis, 14 Februari 2013

Calon PM Pakatan diumum 25 Feb?

G MANIMARAN

PRU13
PRU13
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) disebut-sebut akan mengumumkan nama calon perdana menterinya pada konvenysen nasional perikatan berusia lima tahun itu pada 25 Februari ini.

Difahamkan perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden PR yang lalu.

Bagaimanapun Sinar Harian Online difahamkan kata muktamad berdasarkan perkembangan semasa akan diputuskan pada satu mesyuarat yang dijadual diadakan hari ini.

"Memang ada perbincangan bahawa agenda ini (calon perdana menteri) akan diumumkan bersama pengumuman manifesto Pakatan Rakyat.

"Tetapi, oleh kerana, lazimnya agenda konvensyen Pakatan Rakyat tumpu pada soal-soal dasar, seperti disaksikan sebelum ini, kami akan bincang semula perkara ini dan beberapa agenda lain," kata seorang pemimpin kanan kepada Sinar Harian Online.

Difahamkan perkara itu diputuskan atas andaian dan pertimbangan bahawa kemungkinan pembubaran Parlimen akan diumum minggu akhir bulan ini.

"Kita pun belum pasti dan tidak tahu bila Parlimen akan dibubar... jadi kita akan bentang manifesto terlebih dahulu... saya rasa ini lebih penting," kata beliau.

PR menganjurkan konvensyen nasional sebagai persiapan terakhir menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pada dasarnya, mesyuarat PR dikatakan telah bersetuju untuk memberi laluan kepada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi perdana menteri jika perikatan ini menawan Putrajaya.

"Ini keputusan setakat ini walaupun ada beberapa cadangan lain," katanya.

Kelmarin, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dipetik berkata, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen akan menjadi perdana menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam PRU13.

"Pilihan DAP adalah Anwar Ibrahim dan saya fikir pilihan ini akhirnya akan disokong Pas dan PKR kerana Anwar Ibrahim paling layak," katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Majlis Syura Pas menolak Anwar dilantik sebagai perdana menteri jika PR menang dalam PRU13 dan berkemungkinan melantik seorang pemimpin dari luar pakatan pembangkang.

Beliau menyifatkan dakwaan kononnya Majlis Syura Pas menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan sebagai satu spekulasi.

Laporan media turut dinafikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad lalu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memberitahu bahawa nama calon perdana menteri pihak PR hanya akan diumumkan selepas penamaan calon.

Ini kerana, menurut beliau, sehingga kini tidak tahu siapa yang akan bertanding kelak.

Beberapa pemimpin dan perwakilan Pas pada muktamar tahun lalu mencadangkan jawatan itu wajar diberi kepada Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

1 ulasan:

Sabuli berkata...

Pandangan orang luar semua parti politik dalam malaysia, jangan marah ya... saya rasa orang berkenaan ada di Negeri Kelantan, beliau tidak menyerlah dalam pergerakan parti dalam perjuangannya.. kelayakan ini membawa beliau membantu masalah berlanjutan yang tidak pernah selesai sejak 22 tahun dahulu sehingga ada perpecahan melampau dikalangan parti yang beliau mengangotainya..saja agak