BUKIT KATIL- Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mempertahankan kerusi Dun Bukit Baru yang disandangnya sekarang.
"Ketua Menteri jangan cuba lari dari bertanding di Dun Bukit Baru kalau beliau benar-benar anak jantan. PAS dan rakyat Dun Bukit Baru menunggu beliau di Dun ini.
"Dun Bukit Baru sangat sinonim dengan beliau kerana di dalamnya terletak kampung beliau, di sini ramai sanak saudara dan penyokong beliau jadi buat apa beliau hendak bertanding di kawasan lain," ujar Yusof yang juga Penyelia Dun Bukit Baru.
Yusof berkata sebagai seorang Ketua Menteri, Mohd Ali sepatutnya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di dalam Dun Bukit Baru di mana masih ramai rakyat yang susah dan miskin yang memerlukan bantuan.
"Bila kita turun padang bertemu rakyat, kita jumpa macam-macam kategori orang susah, ada yang miskin, tiada bantuan, cacat anggota akibat kemalangan dan sebagainya.
"Ramai di kalangan mereka tidak dapat bantuan, ada yang dapat bantuan tetapi tidak cukup.Mana perginya wang zakat yang ada lebihan, mereka yang seperti inilah yang sepatutnya dapat bantuan tersebut. Sebagai Adun Bukit Baru, Mohd Ali mesti bertanggungjawab," tambahnya.
Beliau berkata Mohd Ali juga mesti bertanggungjawab terhadap hutang kerajaan negeri yang sudah mencecah lebih RM850 juta seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
"Beliau jangan cuba lari ke bertanding di kerusi Parlimen, siapa hendak jawab tentang duit rezab kerajaan negeri yang tinggal RM8 juta sahaja sekarang," ujarnya.
Baru-baru ini Mohd Ali dalam kenyataan di media arus perdana menyatakan berminat untuk bertanding di kerusi parlimen.
"Saya nasihatkan beliau supaya tidak bertanding di Parlimen sebab tiada jawatan yang sesuai dengan beliau di dalam kabinet, itupun kalau BN menang," kata Yusof.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan