BN Pasir Gudang sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu tertunggak di kawasan Parlimen itu termasuk pemberian hak milik tanah di 10 kampung setinggan.
  
Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah memberi jaminan soal hak milik tanah itu akan diputuskan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
  
"Kita harap akan ada berita gembira mengenainya kerana ia sangat dinantikan penduduk kampung yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan pesta Ponggal Parlimen Pasir Gudang, di Johor Bahru semalam.
  
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata cadangan pembinaan sekolah menengah dan rendah di Taman Scientex kini di peringkat akhir kajian.
  
Katanya sebanyak 36,000 penerima dikenal pasti layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pasir Gudang.- Bernama