Isnin, 15 Oktober 2012

Tanah: Rakyat miskin, wakil rakyat yang dapat



 DR.SYED AZMAN SYED AHMAD

Percayakah anda, dalam suasana rata-rata rakyat Terengganu tidak mempunyai tanah untuk tempat kediaman mereka serta sedang bergelumang dengan bebanan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan negeri ‘Darul Iman’ di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said telah secara berani dan terbuka ‘menganugerahkan’ tanah yang istimewa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen dari UMNO/Barisan Nasional (BN).

Antara exco dan wakil rakyat UMNO yang telah diluluskan permohonan tanah itu adalah Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail; Adun Kuala Besut, Dr. A Rahman Mokhtar; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Mat Zain; Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad; Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat; Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Kemasik, Ir. Rosli Othman.

Kesemua mereka telah dianugerahkan tanah sekurang-kurangnya satu hektar setiap seorang dan ia merupakan tanah-tanah strategik yang mempunyai nilai yang amat tinggi.

Yang lebih menarik lagi adalah penjelasan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said dalam hal ’anugerah’ tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Setelah diasak bertubi-tubi di dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, beliau memberi jawapan selamba bahawa anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat Umno itu ’adalah amalan biasa dan tidak sedikitpun menyalahi etika dan prosedur kerajaan’.

Beliau berkata; ‘Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan’.

Malah Ahmad Said turut memberi justifikasi bahawa setiap rakyat Terengganu yang tidak mempunyai sebarang tanah dan mahu memohon tanah adalah dialu-alukan kerana mereka berhak untuk memohon tanah dan mendapatkan tanah-tanah kerajaan.

Bagi beliau; “Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,”

Persoalannya, apakah ini jawapan yang munasabah dari seorang pemimpin yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah besar oleh rakyat Terengganu ini? Apakah benar anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini merupakan amalan biasa dan tidak menyalahi sebarang etika?

Apakah rata-rata rakyat Terengganu yang hanya hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sudah pun memiliki tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri?

Atau, apakah wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu adalah terdiri dari golongan ’miskin’ dan tidak memiliki sebarang tapak tanah untuk kediaman mereka?

Atau mungkin, apakah Ahmad Said sudah merasakan bahawa Umno Terengganu kini sudah ‘terlalu kebal’ dan tidak mungkin akan kalah dalam pilihanraya akan datang, beliau boleh berbuatlah apa sahaja; Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta mahu runtuh ke, mahu membina Zoo di Bukit Takal bernilai hampir RM100 juta ke, mahu membazirkan duit rakyat ratusan juta pun, rakyat Terengganu tidak akan ambil peduli dan akan tetap bersama menyokong beliau dan Umno di Terengganu.

Ramai kalangan yang tertanya-tanya, apakah benar rakyat Terengganu sendiri juga tidak sensitif dan tidak mahu ambil kisah sedikit pun terhadap isu-isu besar seperti anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini?

Berikanlah apa sahaja kepada wakil-wakil rakyat UMNO, tanah berhektar-hektar ke, kawasan pembalakan ke, projek lebuhraya ke, semua ini rakyat Terengganu sudah tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli.

Asalkan rakyat yang miskin terus dapat makan dengan mendapat ‘Wang ihsan’ samada dalam bentuk ‘bantuan pakaian sekolah’, bantuan hari raya, bantuan kurma dan air zam-zam, maupun bantuan atap biru.

Namun inilah realiti yang sedang berlaku di negeri yang bergelar ‘Kuwait Malaysia’ yang kaya dengan hasil mahsul sumber gas asli dan minyak ini. Slogan ‘rakyat didahulukan’ tampaknya tidak menunjukkan hakikat itu.

Nampaknya slogan ini sudah bertukar kepada ‘wakil rakyat didahulukan’ dalam mereka mentadbir negeri Terengganu yang tercinta ini. ’Rakyat tidak didahulukan tetapi wakil rakyat yang diutamakan’. Malang, sungguh malang nasib rakyat negeri ‘Penyu Bertelur ini’.

* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter: @syedazman.

Tiada ulasan: