Selasa, 2 Oktober 2012

“Puaka” Bukit Koman: Manusia mangsa sianida perlu pembelaan

Oleh: Hafiz Zainuddin

 

 “Saya mahu hidup dan mati dengan aman disini. Inilah satu-satunya kampung halaman saya.” Hue Fui How, 64, penduduk Bukit Koman.

Suara kecil mereka seolah tidak dipedulikan. Bukit Koman sudah menjadi wilayah “puaka” yang semakin mengancam. Terletak dalam daerah Raub yang berkeluasan 2,271 km persegi, bandar tertua di  negeri Pahang Darul Makmur menyaksikan sejarah panjang perlombongan emas seawal abad ke 18 lagi.

Dengan kepadatan penduduk Raub yang menghampiri 90,000 orang, sekurang-kurangnya 3000 orang dari mereka yang terdiri dari sekitar 400 buah keluarga terperangkap didalam ‘wilayah puaka’ – kawasan perlombongan emas Bukit Koman yang menggunakan bahan kimia sianida (cyanide).

Sianida sebagai bahan pembunuh

“Say goodbye to the hearts you break and all the cyanide you drank-ucapkan selamat tinggal kepada mereka yang dipatahkan hatinya dan semua sianida yang kau minum”- Lagu, To The End, My Chemical Romance

Sianida adalah pembunuh semulajadi. Ia merupakan bahan yang pernah digunakan Tentera Parti Nazi semasa perang dunia kedua untuk membunuh jutaan dalam peristiwa holocaust di German. Bahan itu juga digunakan dalam pelaksanaan hukuman mati di beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Tidak kurang dari itu, sianida juga terkenal sebagai bahan yang digunakan untuk membunuh diri. Ia juga popular digunakan untuk kegiatan terorisme dan pembunuhan. Fungsi bahan berbahaya turut digunakan juga sebagai bahan pemudahcara perlombongan emas di beberapa kawasan perlombongan emas seluruh dunia.

Tak terkecuali di Bukit Koman, bermula Februari 2009, pencemaran udara dan darat dari sisa Hidrogen Sianida dan Sulfur Dioksida yang terhasil akibat penggunaan sianida telah dikesan apabila penduduk muka mengalami masalah kesihatan melibatkan kulit, mata, kepala dan sistem pernafasan.

Syarikat yang bertanggungjawab menggunakan bahan kimia berbahaya itu ialah pula ialah Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. (RAGM) yang khabarnya dimiliki oleh Andrew Kam, anak seorang veteran MCA.

Biarpun kawasan Parlimen Raub diwakili Menteri Pelancongan Dr. Ng Yen Yen, sosok wanita tersebut kelihatan tidak ambil pusing terhadap igauan ngeri penduduk disini. Dalam amarah penduduk Raub yang semakin meluat, secara politikal, nampaknya disini bukan lagi tempat selamat untuk Ng Yen Yen bersemayam selesa dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal menjelma kelak. 

Setenang-tenang Pekan Raub…



“Lara di hati tiada siapa peduli.” Raub kembali tenang selepas gegak gempita suara-suara pencinta alam membantah perlombongan emas menggunakan bahan kimia berbahaya sianida di Bukit Koman. Kami tiba setelah sekitar sejam lima puluh lima minit memandu dari Jalan Pudu Kuala Lumpur menyusul kembali melihat perkembangan terkini disana.

Sambil menunggu ADUN Tras Choong Siew Onn tiba, sempat kami menapak meninjau ke pasar pagi Ahad Pekan Raub yang cuma diseberang jalan. Ia cuma sebuah pasar pagi yang biasa biarpun tidak sehiruk pikuk pasar-pasar pagi di Kuala Lumpur. Ia sesederhana Raub, pekan yang tenang dikelilingi hutan-hutan.

Melawat Bukit Koman

Jam menghampiri 12 tengahari, matahari hampir saja terpacak dikepala dan bahang benar-benar menggigit kulit, walaubagaimanapun, kami terus menelusur perlahan melalui jalan-jalan dan lorong-lorong kecil dikampung ini. Salak anjing, batas-batas kebun kecil pinggir rumah dan sapaan penduduk kampung menyambut kehadiran kami. Rata-rata mereka sudah mencecah usia emas, sekadar mencari damai disebuah daerah menghabiskan sisa-sisa usia mereka.

Meninggalkan tanah pusaka tinggalan nenek moyang yang wujud lebih dari satu abad bukanlah perkara mudah. Apalagi ia punya nilai sentimental dan sejarah yang berharga buat warga. Tetapi, sejak mangsa bahan kimia sianida semakin meningkat jumlahnya, menurut penduduk kampung dan melalui mata kepala kami sendiri, berapa buah keluarga telahpun mengosongkan tempat mereka mencari teduh, tempat dimana mereka membesar mencari sesuap nasi.

Mereka berpindah meninggalkan pusaka keluarga. Mungkin seahagiannya membawa diri ke kota besar seperti Kuala Lumpur yang mungkin  lebih menjanjikan harapan dan rasa selamat dari menghuni daerah ini.

 

“Racun itu merbahaya”

Suasana damai dan tenang pekan kecil ini menyimpan seribu satu rasa. Dendam dan amarah penduduk kampung terhadap kerajaan BN yang bersekongkol dengan syarikat RAGM masih belum tamat. Hanya satu yang penduduk mahukan, ‘Hentikan penggunaan bahan kimia sianida dan kemudian melombonglah sehingga kebutiran emas terakhir!’

Pada bulan Mei 2012, satu kajian bebas secara rawak telah dijalankan terhadap 338 penduduk Bukit Koman. Hasil kajian menunjukkan 50 peratus dari penduduk menderita dengan masalah penyakit kulit, mata dan 40 peratus dari mereka mengalami masalah batuk. Sebahagian 35 peratus responden penduduk yang ditemui pula talah mengadu mengalami masalah kelesuan dan pening kepala. Untuk pengetahuan bersama, kini sudah terdapat lapan kes penyakit kanser yang dideritai penduduk.

Apa yang berlaku ke atas seorang penduduk yang kediamannya cuma bersebelahan kawasan perlombongan ini sangat menyayat hati. Beliau adalah puan Chong Ngik Chin, 42.

Seluruh tubuhnya mengalami ruam dan kegatalan yang serius, kulitnya kemerah-merahan dengan beserta kulit-kulit kering yang mengelupas. Pergerakannya terbatas, Ngik Chin sentiasa duduk di bawah kipas agar kulitnya tidak pedih dan berasa gatal.

Sudah pelbagai ikhtiar beliau usahakan, beliau cuma berharap agar penyakitnya sembuh dan boleh memulakan kehidupnnya seperti sediakala.

Najib tak tidur lena

Menurut ADUN Tras Chong Siew Onn, isu alam sekitar yang tercetus di Pahang kini membuatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dapat tidur dengan lena.

“Kementerian Kesihatan sendiri telah mengumumkan terdapat lebih dari 200 kes melibatkan isu kualiti udara tercemar. Ada penduduk yang telah menghabiskan ribuan ringgit untuk merawat masalah kesihatan mereka tatapi malangnya ia tidak memberi kesan kepada peningkatan kesihatan.

Katanya, terdapat juga aduan beberapa kes dimana seluruh ahli keluarga tersebut mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan udara yang tercemar.

Mengulas kepada isu yang seolah tidak kunjung padam ini, Choong berkata, “Kesedaran rakyat Pahang semakin meningkat. Selain isu ini, tambunan isu rasuah dan salah urus kerajaan negeri juga telah membuka mata ramai rakyat.”

Dari beberapa siri Himpunan Hijau di bumi Pahang termasuk bantahan terhadap pembinaan kilang pemprosesn nadir bumi oleh Syarikat Lynas di Gebeng Kuantan, kita belum melihat sebarang tindakan proaktif kerajaan negeri maupun kerajaan persekutuan menangani dilemma dan luah rasa penduduk disini.

Justeru, ia menimbulkan beberapa persoalan lain. Samada kerajaan sengaja melindungi syarikat swasta RAGM atau mendiamkan diri mengenai maklumat sebenar atau  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling ( Pindaan ) 1985 telah ditongsampahkan?

Isu pencemaran alam sekitar melangkaui batas kaum



Tidak mustahil, RAGM ibarat agen nazi-nazi kecil yang bakal membawa malapetaka yang besar kepada pahang.

Bagi Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah, walaupun kebanyakan mangsa bahan berbahaya sianida ini terdiri dari kaum Tionghua, ia bukanlah satu isu perkauman.

Kami juga difahamkan, kesan bahan berbahaya tersebut telahpun mula berlaku di tempat lain, antaranya di Sungai Lui yang lagunya sangat popular dinyanyikan oleh Aizat.

“Ini bukan isu kaum! Racun sianida tidak mengenal siapa pun kita. Selain udara, ia juga mencemarkan bumi dan air”

Katanya, pimpinan kerajaan UMNO-BN negeri ini dilihat sibuk memperkayakan sesama mereka dengan pelbagai projek berisiko pada masa yang sama kerajaan Pahang telahpun mencatatkan hutang sekitar RM2.2 billion. Ia merumuskan urustadbir kerajaan UMNO-BN Pahang berda di tahap yang lemah.

“Mereka membawa pelaburan berisiko ke negeri ini. Sepertimana yang kita tahu di Kuantan, rakyat bakal berhadapan dengan masalah radioaktif kilang Lynas, begitu juga dengan di Bukit Koman akibat penggunaan cyanide. Apakah pelaburan berisiko ini berbaloi?” soal Tengku Zul.

Penggunaan sianida bukan sahaja dibantah di Malaysia, malah diseluruh dunia. Sianida punya sejarah panjang

Matahari kian memacak, kami kemudiannya dibawa menuju ke pintu masuk kawasan perlombongan RAGM tersebut, apa yang mengejutkan, jarak antara pintu masuk dan rumah penduduk hanya beberapa meter diseberang jalan.

Menurut Tengku Zul, keadaan begini telah melanggar peraturan seperti yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan. Jarak sepatutnya perlulah 500 meter dari tempat kediaman penduduk.

“Dari sudut keselamatan ia memang telah diabaikan, mereka menggunakan bahan cyanide. Bagi mereka yang mempunyai sistem ketahanan tubuh yang kuat mungkin boleh bertahan, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai sistem ketahanan badan yang baik?” tambah beliau.

Kami kemudiannya melawat seorang lagi mangsa, kali ini ialah kedua-dua anak kepada Wong Soon Fatt, seorang mekanik motor.

Menurut Wong, keuda-dua anaknya yang masih bersekolah itu sering mengalami gatal-gatal dibahagian kaki sehinggakan meninggalkan bekas.

“Kecil-kecil lagi mereka sudah selalu kena sakit kepala.” keluhnya.

Beliau turut membawa kami pergi ke sekitar rumahnya untuk melihat beberapa pokok tanamannya mati dengan tiba-tiba dan ada pula yang mengalami kerosakan pada beberapa bahagian tekstur daun.

Keluh rasa dan dukacita penduduk

Cukup terbelakah penduduk Bukit Koman dengan publisiti meluas media mengenai mimpi ngeri yang menghantui mereka setiap hari? Dalam perjalanan kami meninjau kawasan lombong emas di kampung ini.
Sempat juga kami berehat sebentar disebuah gerai untuk melepaskan lelah.

Dikesempatan itu, saya sempat menanyakan isu ini kepada beberapa orang penduduk.

Bagi seorang warga emas yang merupakan bekas Pembantu Farmasi Hospitl Derah Raub, Hue Fui How, 66, beliau berkata semua orang disini marah terhadap  pihak berkuasa ambil mudah dalam isu ini.

“Kalau kita dapat asap-jerebu dari Sumatera (pembakaran terbuka), kita akan marah. Sama seperti kami disini. Kami hidup dengan udara tercemar 24 jam sehari!”

Beliau mengadu bahawa beliau sering mendapat kesan gatal di kulit dan mata berair manakala isterinya Low Lee Choo, 64, kini sering mengalami kesukaran bernafas.

Hal yang serupa juga berlaku kepada Wong Pak Foh, 54 yang sering mengalami pening dan sakit kepala. Bukan sekadar itu, beliau juga mengalami gatal-gatal pada kulit.

“Banyak kali pergi ke hospital, klinik, tetapi ubat yang diberi macam tidak ada kesan.” keluh Wong.

Hentikan sianida dengan tukar kerajaan

Sampai bilakah ‘iblis’ di Bukit koman akan terusir? Sampai bilakah ‘puaka’ yang mengamuk di Bukit Koman akan terpasung?

Untuk menghentikan penggunaan bahan kimia berbahaya sianida ini, rakyat tidak ada jalan lain yang terbaik selain dari menukar kerajaan BN kepda kerajaan Pakatan Rakyat. Dalam ikrarnya sebelum ini, Pakatan Rakyat sememangnya prihatin dan komited untuk menyelesaikan isu yang hngat diperkatakan orang ini.

Bukit Koman telahpun dikenali sebagai satu lagi Projek Barisan Nasional yang memangsakan penduduk. Mana dan siapa lagi yang akan dimangsakan selepas ini?

Apapun, sikap tidak acuh kerajaan UMNO-BN Pahang dalam urus tadbir mereka dan dalam menangani masalah serius melibatkan alam sekitar dan rakyat negeri ini mungkin merupakan satu permulaan yang romantis kepada kebangkitan gelombang rakyat Pahang menewaskan kebobrokan pemerintah yang keji dan tamak. Bukit Koman mengharap sinar harapan buat mereka.

Pejamkan matu mu untuk ku
Dengarlah dunia berkata-kata….-Lirik lagu Sungai Lui, Aizat.

-Roketkini.com

Ikuti rakaman khas mengenai isu Bukit Koman di http://www.youtube.com/watch?v=ahzSOmhGZyc&feature=plcp

Tiada ulasan: