Jumaat, 5 Oktober 2012

NGO buat laporan polis terhadap Anwar dan tiga MP Pakatan


Kelab Wartawan Muda membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama tiga ahli Parliment PR, hari ini.
KUALA LUMPUR — Kelab Wartawan Muda hari ini membuat laporan polis terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta tiga ahli parlimen dari Pakatan Rakyat (PR) iaitu Tian Chua, Datuk Mahfuz Omar dan R Sivarasa kerana mahu membawa tiga peguam asing ke Parlimen untuk membentangkan isu Scorpene.

Menurut presidennya, Dzulkarnain Taib berkata, Kelab Wartawan Muda tidak mahu campurtangan asing di dalam hal ehwal negara.

“Apakah hak pembangkang membawa peguam asing untuk memberi taklimat di dalam Parlimen?

“Beliau juga mahu membawa William Bourdon, peguam Perancis yang pernah ditahan di KLIA, selain Joseph Breham dan Oliver Netzer.

“Apakah locus standi Suaram (Suara Rakyat Malaysia) terhadap kes tersebut?” kata Dzulkarnain selepas membuat laporan tersebut di balai polis Dang Wangi petang hari ini.

Dia juga bertanya apakah hubungkait pembangkang dengan Suaram serta siapa yang membiayai kos membawa tiga peguam asing tersebut.

Menurut bekas editor Suara Keadilan itu, Kelab Wartawan Muda itu mempunyai keahlian seramai 100 orang.

Selain dari Kelab Wartawan Muda, turut menghantar wakil ialah dari Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah (LKPJ), Lembaga Pelindung Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dzulkarnain berkata, beliau kini memantau media untuk kepentingan negara dan sentiasa menyokong kerajaan, serta tidak bekerja untuk mana-mana media.

Tiada ulasan: