Shahbudin Husin
Untuk
kesekian kalinya Najib merayu lagi. Sebelum ini sudah beberapa kali
beliau merayu, baik kepada pengundi Melayu, Cina, India dan rakyat
biasa. Kali ini Najib merayu agar beliau diberi mandat yang lebih besar
dalam pilihanraya akan datang dengan alasan untuk meneruskan
pembangunan negara dan mencapai cita-cita menuju Wawasan 2020.Dalam
wawancara program CNBC Conversation, Najib nampaknya secara
terus-terang menyatakan hanya dengan mandat yang besar saja
membolehkannya terus melaksanakan program-program yang sudah diramcang
selama ini.
Kebimbangan
Najib terhadap mandat besar ini pada hakikatnya menyerlahkan pelbagai
perkara. Sementara beliau merasakan mandat besar amat perlu untuk
survival politiknya, rakyat pula beranggapan sebaliknya. Rakyat amat
bimbang dengan perilaku Najib serta barisan kepimpinan UMNO sekiranya
mandat besar terus diberikan kerana ia mungkin menggalakkan lebih
banyak berlaku skandal, perbuatan rasuah dan amalan membolot kekayaan
peribadi.
Dengan
mandat nyawa-nyawa ikan sekarang pun, pelbagai perkara buruk terus juga
dilakukan tanpa segan silu, apatah lagi jika ada mandat lebih besar.
Yang merompak kekayaan negara, terus juga merompak. Yang bergaya mewah
dan membeli pelbagai hiasan mahal-mahal di luar negara, tanpa malu-malu
memperaga kemewahan di sebalik derita yang ditanggung rakyat. Amalan
campurtangan dalam pentadbiran kerajaan, mengutamakan kroni dalam
pemberian projek, pembaziran dan sebagainya terus berlaku seolah-olah
tidak ada titik noktaknya.
Bayangkan jika mandat lebih besar diperolehi Najib!
Hakikatnya
rakyat tidak mahu lagi memberi mandat besar, bukan saja kepada UMNO
tetapi juga kepada mana-mana kerajaan sekali pun. Dalam pilihanraya
akan datang, baik BN atau PR, rakyat tidak mungkin memberi mandat yang
begitu besar. Mandat besar ibarat mengundang mala petaka tujuh
keturunan.
Kerana
ketiadaan mandat besarlah, Najib sekurang-kurangnya tahu juga memberi
rakyat pemberian tunai melalui BR1M, baucer buku, wang saku untuk
pelajar sekolah dan sebagainya. Dengan mandat besar, jangan harap semua
itu akan diberikan.
Dengan
mandat besar, yang mungkin berlaku ialah amalan berganda di kalangan
pimpinan UMNO terus memperkayakan diri dan keluarga masing-masing.
Dengan mandat besar juga, semua isteri dan anak pemimpin akan terus
bergaya mewah, mampamer gelang lebih besar dan beg tangan paling mahal.
Dengan
mandat besar, lihat sahaja bagaimana Tun Mahathir mengatur perjalanan
kekayaan anak-anaknya dan dengan mendapat besar juga, lihatlah
bagaimana Taib Mahmud memobolot segala hasil dan projek perniagaan di
Sarawak sehingga beliau dan kaum keluarganya menjadi antara keluarga
paling kaya di negara.
Menolak mandat yang besar bererti mewujudkan “check and balance” dalam pentadbiran kerajaan dan amalan kehidupan mana-mana pemimpin.
Menolak mandat yang besar bererti mewujudkan “check and balance” dalam pentadbiran kerajaan dan amalan kehidupan mana-mana pemimpin.
Kebimbangan
lain yang dirasakan Najib jika beliau gagal mendapat mandat besar
ialah masa depan politiknya sendiri dalam UMNO. Beliau tahu tradisi
UMNO dan BN selama ini ialah menang majoriti dua pertiga dan jika
kurang daripada itu, ia akan diangggap gagal. Lihat saja Pak Lah pada
pilihanraya 2008, hanya kekurangan 8 kerusi daripada majoriti dua
pertiga, beliau akhirnya dipaksa melakukan peralihan kuasa.
Orang yang
berani mendesak Pak Lah ketika itu ialah Muhyiddin Yassin. Hari ini
Muhyiddin hanya setakuk berada di bawah Najib. Ini bermakna jika Najib
gagal mendapat majoriti dua pertiga, Muhyiddin lebih mudah memaksa
Najib untuk berundur. Suara Muhyiddin sebagai TPM dan Timbalan Presiden
UMNO kali ini tentunya lebih berpengaruh berbanding ketika beliau
mendesak Pak Lah berundur dahulu.
Najib yang
hanya menumpang kuasa atas saki-baki peninggalan Pak Lah, diakui bukan
saja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia bahawa lebih kelemahannya
berbanding wibawanya. Tidak ramai yang mengakui beliau mampu membawa
kemenangan lebih besar daripada 2008. Yang merasa dan mengharapkan
beliau dan UMNO akan kalah juga makin meningkat.
Majalah
Economist juga baru-baru ini meramalkan Najib bakal menerima nasib
seperti bekas PM England Gordon Brown, yang turut memerintah atas
saki-baki Tony Blair tetapi kemudiannya apabila mengadakan pilihanraya,
parti Buruh pimpinannya tewas kepada Konservatif pimpinan David
Cameroon.
Dalam
situasi Najib, dua suasana sedang menghimpitnya. Beliau dan BN mungkin
tewas kepada Anwar dan PR dalam pilihanraya umum akan datang. Jika itu
berlaku, nasibnya sama seperti Gordon Brown. Situasi kedua ialah BN
mungkin menang tetapi dengan majoriti yang amat tipis dan lebih kecil
daripada 2008. Jika itu berlaku, Muhyiddin sedang menunggu untuk
menariknya turun.
Dengan
terus merayu agar beliau terus diberi mandat lebih besar, Najib
sebenarnya sedang berusaha mengelakkan kedua-dua situasi itu. Tetapi
ketakutan beliau akan kehilangan kuasa sudah dapat dirasai sekarang ini.
Penulis
pernah menjadi wartawan beberapa
akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah
juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000
menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan
Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia
dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan
AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah
menghasilkan dua buah buku politik bertajuk
Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan
Najib.Beliau memiliki laman blog di
shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan