Selasa, 16 Oktober 2012

Laporan Ketua Audit: PAC Akan Panggil 30 Agensi

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil kira-kira 30 agensi dan jabatan kerajaan untuk siasatan lanjut berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid berkata langkah itu sebagai mematuhi saranan Jabatan Audit Negara.

"Kita akan kaji dan buat keputusan selepas kita panggil mereka. Buat masa ini kita perlu meneliti dan membaca laporan itu untuk maklumat dan tindakan lanjut Jawatankuasa PAC," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini Isnin.

Beliau yang sebelum itu mendengar penerangan dan taklimat daripada Jabatan Audit Negara berhubung laporan tersebut, berkata agensi terbabit dianggap masih mempunyai kelemahan ketara terutama membabitkan pengurusan kontrak.

"Sebagai contoh, program pembinaan Hospital Kluang, Johor di mana kerja-kerja pembinaan tidak mengikuti spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan seperti kelewatan lebih setahun untuk disiapkan. Ini projek lama yang dilaksanakan tetapi baru diaudit," katanya.

Azmi berkata PAC juga akan mendapatkan maklum balas daripada agensi atau jabatan yang ada "masalah kecil".

Dalam pada itu, PAC mendapati ada peningkatan dari segi pengurusan prestasi kewangan agensi dan jabatan kerajaan.

Jabatan persekutuan yang mendapat penarafan "Sangat Baik" atau empat bintang meningkat dari 43 (2010) kepada 45 kali ini dan paling ketara prestasi jabatan peringkat negeri yang meningkat dari 34 kepada 66 jabatan bagi tempoh sama, katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mahu ketua jabatan dan agensi agar tidak melakukan kesilapan sama setiap tahun.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan dan aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri tahun lepas dibentangkan di Parlimen hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA

Tiada ulasan: