Isnin, 15 Oktober 2012

Laporan Audit 2011: Kewangan Selangor Sekali Lagi Perolehi Penarafan Baik




SHAH ALAM: Kedudukan kewangan Kerajaan Selangor diklasfikasikan sebagai “baik” oleh Jabatan Audit Negara dengan peningkatan dari segi wang simpanan, hasil, pelaburan dan pengurusan kewangan.

Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 mencatatkan peningkatan baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM1.944 bilion.

 Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM 357.13 juta berbanding RM1.58 bilion pada tahun 2010.

Kerajaan Negara berjaya meningkatkan simpanan walaupun terus melaksanakan pelbagai program meringankan beban rakyat seperti diskaun cukai pintu rumah kos rendah, pemberian air pecuma 20 metre padu dan Jom Shopping.

Kerajaan Negeri turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM 62.50 juta dari RM 1.571 bilion pada 2010 kepada RM 1.634 bilion pada 2011.

Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri telah mencatatkan surplus sejumlah RM 180.50 juta berbanding surplus RM 124.24 juta pada tahun 2010.

Demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

“Prestasi kewangan Kerajaan Negeri pada tahun 2011 meningkat daripada tahun 2010 dengan peningkatan lebihan hasil berbanding jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan,” menurut laporan tahunan itu


Dari segi pelaburan, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan peningkatan sangat ketara pada 2011 sebanyak RM 1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya, RM 928.61 juta.

Ianya merupakan peningkatan berterusan untuk tahun ke lima berturut-turut.

Tahap prestasi Pengurusan Kewangan Jabatan dan Agensi Negeri pula mendapati lapan darinya diiktiraf sebagai sangat baik dan sepuluh lagi diiktiraf baik bagi tahun 2011.

Antara jabatan dan agensi yang menerima penarafan sangat baik adalah Pejabat Menteri Besar & Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor.

Pejabat Daerah & Tanah Sabak Bernam, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya turut diklasifikasikan sebagai “sangat baik”.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelumnya, empat jabatan dan agensi Kerajaan Negeri diiktiraf sangat baik dan 11 yang lain diiktiraf baik.


Tiada ulasan: