Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN (sabahkini)
BEBERAPA Laporan Sabahkini.net sebelum ini berhubung Skandal Sarang Burung di Gua Gomantong adalah benar dan bukan cerita rekaan Angkatan Muda PKR setelah Ketua Audit Negara melaporkannya dalam Laporan Audit 2011 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.Ketua Penerangan AMK PKR, Citra Masadi menjelaskan Ketua Audit Negara mengesahkan beberapa syarikat proksi pemimpin UMNO berhutang lebih RM7.7 juta tetapi masih dibenarkan memungut sarang burung.
"Kita berharap agar SPRM tidak teragak-agak selepas ini untuk mengambil tindakan kerana sebelum kita dedahkan kepada media, kita sudah menjalankan kajian rapi," ujar Citra yang mengakui ada berlaku sedikit kesilapan fakta namun tidak mencacatkan dakwaannya selama ini.
Citra turut mendesak agar Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan diambil tindakan surcaj kerana gagal memungut hutang daripada kontraktor dan dalam masa yang sama membenarkan kontraktor 'merompak' harta kerajaan.
Menurut Citra, Akaun Kerajaan Negeri Sabah dalam keadaan sempurna namun telah dicacatkan oleh Ketua Pemuda UMNO Sabah yang berhutang sejumlah lebih RM7.7 juta sejak 9 tahun lalu dan menyebabkan imej kerajaan negeri Sabah tercemar.
"Inilah kualiti Ketua Pemuda UMNO Sabah yang bukan sahaja telah menyalahguna kuasa, malah menyebabkan akauntabiliti kerajaan kerajaan negeri dalam keadaan kucar kacir dan dipalit rasuah," kata Citra yang mendesak siasatan menyeluruh dan menyarankan hak memungut sarang burung yang diberikan kepada syarikat milik Awang Kadin dihentikan serta merta dan ditawarkan semula.
Berikut Sedutan Laporan Audit Negara 2011 Berhubung Akauntabiliti Jabatan Hidupan Liar Sabah;
11.4.3.1. Pengurusan Pemberian Tender Tidak Mematuhi Garis Panduan Dan Peraturan Kewangan Proses pemberian tender hendaklah mematuhi peraturan kewangan dan garis panduan semasa dengan menawarkan tender secara terbuka, memilih kontraktor yang memenuhi syarat dan berkeupayaan serta menyediakan dokumen kontrak dan ditandatangani.
Semasa menyediakan dokumen kontrak, perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti bon pelaksanaan, waranti, jadual pembayaran, bayaran pendahuluan dan penamatan kontrak.
Pengecualian proses tatacara sebut harga dan tender bagi peruntukan kewangan daripada Kerajaan Negeri adalah di bawah kelulusan Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Setiap kontrak yang disediakan oleh Jabatan Kerajaan Negeri hendaklah dipastikan ianya menjaga kepentingan dan dasar-dasar Kerajaan Negeri.
Perjanjian Kontrak yang hendak ditandatangani perlu disemak dan diluluskan oleh Peguam Besar Negeri atau Penasihat Undang-Undang yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. Jabatan hendaklah sentiasa mengawasi prestasi pematuhan syarat kontrak.
Tindakan sewajarnya hendaklah diambil jika kontraktor gagal memenuhi obligasi di bawah kontrak. Semakan Audit mendapati:
a. Syarikat Yang Mempunyai Tunggakan Dilantik Semula:
i. Pengurusan tender kutipan sarang burung bagi Gua Gomantong ditawarkan secara terbuka dan telah disiarkan melalui akhbar tempatan. Proses tawaran tender telah diuruskan oleh Jabatan manakala keputusan tender ditentukan oleh Jawatankuasa Tender, Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Seramai 7 kontraktor telah dilantik untuk memajak dan mengutip sarang burung di Gua Gomantong bagi tempoh 2009 hingga 2011. Semakan Audit mendapati, seramai 6 kontraktor yang dilantik merupakan kontraktor baru dan 1 kontraktor lagi adalah kontraktor yang dilantik semula. Kontraktor tersebut adalah Pewaris Gua Gomantong (1884) Sdn. Bhd. yang mempunyai tunggakan sewa pajakan berjumlah RM2,247,060. Status kontraktor yang dilantik bagi tempoh 2006 hingga 2008 dan 2009 hingga 2011 seperti di Jadual 11.11.
ii. Setakat 31 Disember 2011, terdapat seramai 4 kontraktor yang mempunyai tunggakan hasil berjumlah RM7,749,675 seperti di Jadual 11.12. Semakan Audit terhadap rekod tunggakan hasil mendapati, Syarikat Terus Sihat Sdn. Bhd. yang dilantik bagi tempoh 2006 hingga 2008 masih belum menjelaskan tunggakan berjumlah RM717,000 walaupun surat peringatan telah dikeluarkan sebanyak 4 kali sejak 2008. Tindakan yang tegas perlu diambil bagi mengutip tunggakan hasil dan syarikat yang dilantik semula perlulah menjelaskan tunggakan terlebih dahulu agar kepentingan Jabatan terpelihara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan