Isnin, 15 Oktober 2012

DAP: Sekat dana asing cadangan 'hipokrit' Umno

MALAYSIA KINI


 
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua berkata, pemimpin Umno bertindak hipokrit apabila merancang untuk untuk menggubal undang-undang baru bagi menyekat penerimaan dana asing.

Sedangkan, Umno sendiri menerima dana asing bernilai RM40 juta yang diragui, kata MP Petaling Jaya Utara itu.

"Cadangan oleh menteri itu bukan sahaja tidak praktikal tetapi ia benar-benar satu tindakan Umno yang juga pemerintah yang hipokrit.

"Apa yang menimbulkan keraguan ialah apabila (menteri hal ehwal undang-undang) Datuk Nazri (Abdul Aziz) dengan tidak rasa bersalah ingin menggubal undang-undang apabila Umno sendiri menerima dana asing.

"Datuk Nazri sendiri mengakui bahawa wang RM40 juta dalam matawang Singapura yang cuba diseludup masuk ke Sabah dari Hong Kong oleh Michael Chia adalah bertujuan untuk Umno dan bukan untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman," kata Pua dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri, seperti dilaporkan media semalam, yang menyebut bahawa undang-undang tersebut perlu untuk menghalang campur tangan asing ke atas keselamatan negara.

Katanya lagi, Nazri sendiri dalam satu jawapan di Parlimen menyebut bahawa wang berjumlah RM40 juta yang cuba diseludup ke Malaysia melalui Hong Kong itu merupakan sumbangan kepada Umno negeri dan bukannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Selain itu, Tony berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pula pada Jumaat lalu mengakui bahawa wang yang tidak diketahui asal usul itu merupakan sumbangan politik.

Presiden Umno itu enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno kerana menurutnnya, pembangkang juga tidak mendedahkan sumbangan mereka.

"Sebelum Datuk Nazri memperolehi sebarang sebarang locus standi untuk mencadangkan mana-mana undang-undang mengenai pembiayaan asing tersebut, dia terlebih dahulu perlu mendedahkan sumber pembiayaan asing yang diterima Umno.

"Jika wang pembiayaan itu sah, kenapa wang (kepada Umno Sabah) yang hendak diimport dalam bentuk wang tunai itu di dalam mata wang Dolar Singapura?" soalnya.

Katanya, beliau khuatir jumlah sumbangan yang banyak itu akan menjejaskan kestabilan negara.

"Atau kita takut jumlah sumbangan yang besar daripada sumber asing itu akan menyebabkan kita menjadi agen kepada kuasa asing dan kita akan dipaksa untuk melakukan pembohongan sehingga menjejaskan kestabilan negara," katanya.

Tiada ulasan: