Jumaat, 5 Oktober 2012

Buku teks lebih 200 kesilapan

Nasrudin Hassan,
 
1. Sungguh memeranjatkan! Bagaimana Kementerian Pelajaran Malaysia mengeluarkan sebuah buku teks Bahasa Arab Tingkatan 5 yang menjadi silibus Sijil Pelajaran Malaysia [SPM] mengandungi lebih 200 kesalahan utama. Kesalahan yang melibatkan nahu tatabahasa, methodologi bahasa dan susunatur bahasa dan ejaannya.
2. Dewan Pemuda PAS Malaysia [DPPM] mahu Menteri Pelajaran bertanggungjawab penuh di atas kecuaian melampau yang merisikokan masa depan pelajar. Apakah kegagalan hampir 50% pelajar yang menduduki peperiksaan kemasukan ke Universiti di Timur Tengah khasnya Mesir adalah berpunca dari silibus yang salah?

3. Terlalu banyak kesilapan dan kesalahan buku teks Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah [KBSM] Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mata pelajaran  Bahasa Arab  Tingkatan 5  yang diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn Bhd  [203370-D] dan dicetak oleh Percetakan Rina Sdn Bhd [31964-X].

4. Kesilapan ketara seperti ini sewajarnya tidak berlaku. Bukan sahaja ia merosakkan masa depan pelajar yang gagal menguasai bahasa arab dengan baik tetapi juga melibatkan pembaziran dengan kos yang tinggi. Justeru itu pihak kami Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengetahui berapakah jumlah cetakan buku tersebut dan berapa pula kos percetakannya? Jangan hanya kerana kelalaian atau kecuaian yang didiamkan, mengorbankan wang rakyat.

5. Sebelum ini negara telah gempar dengan sedikit kesilapan pada novel Interlok yang akhirnya mencetuskan perdebatan para saterawan negara dan cerdik pandai. Malang Kementerian Pelajaran tidak mempelajari kesilapan lalu. Akhirnya mempertaruhkan masa depan pelajar.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: