Anis Nazri | Foto Wan Zahari, |
Video yang ditayangkan di mahkamah, hari ini, didapati terdapat imej-imej yang dianggap peguambela sebagai kesan suntingan yang jelas.
Peguam Azizul Shariman, ketika soal balas saksi ketujuh, Koperals Mohamad Nor, meminta saksi menyatakan sama ada salinan rakaman video yang dibekalkan ke mahkamah itu adalah rakaman yang tidak disunting atau sebaliknya.
Menjawab soalan tersebut, saksi tidak bersetuju untuk menyatakan video tersebut disunting, sebaliknya beranggapan imej itu disebabkan halangan yang beliau hadapi daripada anggota polis lain untuk merakam insiden seterusnya.
Beliau juga tidak bersetuju apabila dikatakan beliau sengaja menghentikan rakaman bagi menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pihak peguambela membangkitkan perkara tersebut memandangkan rakaman video yang ditayangkan terhenti pada tempoh tertentu, sebelum wujud imej kosong berwarna putih dan hijau sebelum menayangkan adegan seterusnya.
Rakaman video yang pada mulanya menunjukkan suasana tegang ketika anggota polis mengejar beberapa orang awam, bagaimanapun terhenti beberapa saat dan bersambung dengan imej seorang peserta ditahan.
Perkara itu dibangkitkan ketika perbicaraan ke atas seorang peserta himpunan Bersih 3.0, Mohd Safuan Mamat yang didakwa mencederakan polis dan wartawan tv al-Hijrah serta menyebabkan kerosakan kereta polis pada perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.
Sementara itu, seorang lagi peguambela, Noor Azmir Zakaria ketika ditemui Harakahdaily, berkata imej putih dan hijau kosong itu menunjukkan terdapat suntingan pada rakaman tersebut.
"Saksi mengatakan beliau tidak merakam adegan seterusnya kerana dihalang anggota polis lain (kerana beliau berpakaian preman). Jika betul dihalang, dan tidak menekan sebarang butang 'pause' pada perakam video, sudah pasti imej bergoyang (ketika dihalang merakam), dapat dilihat, bukannya imej kosong berwarna putih dan hijau seperti yang kita lihat tadi," tegas beliau.
Justeru, katanya pihak peguambela beranggapan rakaman video yang diserahkan kepada mahkamah oleh pihak polis itu telah disunting dan tidak dapat dijamin ketulenannya.
Perbicaraan bersambung petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan