Isnin, 22 Oktober 2012

Akibat salah faham bas pasukan KP1M dibaling batu

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

AMMAN - Pasukan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) tiba di kem pelarian Za'tari di daerah Al-Mafraq semalam bersama dengan wakil kedutaan Malaysia bagi melihat sendiri keadaan kem tersebut.

Kem pelarian ini menempatkan lebih 37,000 pelarian yang berlindung akibat dari perang saudara yang berlanjutan di negara jiran, Syria.

Pasukan yang diketuai Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Rahim pada mulanya disambut dengan senyuman para pelarian apabila mereka melihat bendera negara berkibar di kenderaan.

Namun, sedikit kekecohan berlaku apabila para pelarian tidak berpuas hati melihat KP1M memakai bendera Kerajaan Syria pada pakaian.

Difahamkan, para pelarian ini adalah penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad dan mereka mahu KP1M menggunakan bendera Pergerakan Pembebasan Syria yang baru.

Salah faham ini berlanjutan sehingga kenderaan yang diguna KP1M diserang dengan batu, tetapi tiada perkara tidak diingini berlaku.

Sejurus selepas itu, ketika mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Al-Albayt di Al-Mafraq, Abdul Azeez berkata halangan seperti ini adalah kebiasaan kepada petugas misi bantuan.

"Cabaran ini pernah dilalui KP1M, ia tidak akan mematahkan semangat kami yang membawa harapan 28 juta rakyat Malaysia.

"Malah ia akan menguatkan azam kami untuk membantu pelarian ini kerana kita datang atas nama kemanusiaan, bukannya mahu terlibat dengan mana-mana pihak dalam konflik ini," katanya.

Misi bantuan ke Jordan ini membawa 300 tan barangan bantuan berupa makanan, selimut, pemanas dan ubat-ubatan kepada 15,000 keluarga pelarian.

Tiada ulasan: