PUTRAJAYA ― Barisan Nasional (BN) mahu calonnya yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 bukan sahaja boleh menang tetapi juga daripada mereka yang dikehendaki rakyat, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang tidak meletakkan had umur atau jumlah pernah menjadi wakil rakyat untuk menjadi calon bertujuan memastikan calon yang bertanding nanti adalah yang dimahukan rakyat.
Tengku Adnan (gambar) yang juga Setiausaha Agung Umno dan Ahli Parlimen Putrajaya yakin dengan kenyataan Najib itu dapat melenyapkan persepsi sebelum ini yang mengatakan yang tua tidak boleh menjadi calon dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
“Penjelasan sudah dibuat semalam dan yakin dengan calon yang akan diketengahkan oleh BN nanti,” katanya dipetik Bernama Online.
Beliau turut mengakui bahawa pilihan raya umum yang akan datang adalah sengit dan yang penting individu berkenaan adalah calon terbaik bagi BN.
Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata daripada segi bilangan muka lama yang akan dikemukakan parti pada pilihan raya umum nanti, terserahlah kepada presiden menentukannya.
“Anda mestilah sentiasa ingat, pilihan raya umum pada 2008 adalah satu keadaan yang amat getir. Kebanyakan calon yang berjaya pada 2008 adalah calon yang boleh menang. Kenapa mesti kita menukar mereka,” katanya.
Mengenai dakwaan mungkin wujud sifat ‘menikam dari belakang’ di kalangan ahli parti, Tengku Adnan berkata kepentingan partilah yang perlu didahulukan dan bukan individu.
Katanya, ini kerana pilihan raya umum akan datang merupakan satu pilihan raya yang begitu getir kepada parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan