Ahad, 13 November 2011

Sukan SEA: Malaysia kutip dua emas hari kedua

THE MALAYSIAN INSIDER

JAKARTA— Malaysia memulakan kutipan pingat dengan meraih dua emas pada hari kedua Sukan SEA ke-26 yang berlangsung di Indonesia.

Kedua-dua pingat itu diraih melalui acara menembak dan olahraga yang dipertandingkan di Palembang.

Selepas tamat semua acara di kedua-dua venue, Malaysia kini di tangga keenam jumlah pungutan pingat keseluruhan dengan dua emas, lima perak dan enam gangsa.

Tuan rumah Indonesia mendahului kutipan pingat dengan meraih 23 emas, 15 perak dan 8 gangsa, diikuti Singapura (8,7,8), Vietnam (6, 7, 10), Thailand (5,8,9), Filipina (3, 2, 6) dan Malaysia.

Daripada 11 negara yang menyertai temasya ini, hanya Brunei dan Timor Leste yang belum memperoleh sebarang pingat.

Penembak kebangsaan Nur Suryani Mohamed Taibi muncul penyumbang pingat emas pertama untuk Malaysia selepas memenangi acara 50 meter Rifel 3 Posisi pada temasya Sukan SEA ke-26 di Lapang Sasar Menembak, Kompleks Sukan Jakabaring di Palembang, lapor Bernama Online.

Sementara pingat gangsa menjadi milik seorang lagi penembak negara Nur Ayuni Farhana.

Nur Suryani mengumpul 679.8 mata, mengatasi saingan terdekat Sununta Majhacheep dari Thailand yang mengumpul 676.3 mata untuk pingat perak.

Nur Ayuni Farhana pula mengumpul 675.4 mata.

Skuad menembak turut meraih dua pingat perak melalui Khalel Abdullah dalam acara 25 meter Standard Pistol lelaki dan Mohd Hadafi Jaafar dalam acara 10 meter Air Rifel lelaki.

Atlet baling tukul besi, Tan Song Hwa, meskipun masih dibelenggu kecederaan tulang belakang, beraksi cemerlang dengan mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Laos, dua tahun lepas dengan balingan 55.15 meter hari ini.

Acara kolam renang menyumbangkan dua perak melalui Marellyn Liew dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu wanita, dan gandingannya bersama Chan Kah Yan, Christina Loh dan Khoo Cai Lin pula meraih satu lagi perak dalam acara 4x100 meter berganti-ganti.

Malaysia turut mendapat bonus satu gangsa melalui acara memanjat dinding, yang buat pertama kali diperkenalkan di edisi Indonesia ini, menerusi Hafzanizam Bakhori.

Di Jakarta, harapan menambah pingat emas tidak kesampaian selepas Jamalliah Jamaludin sekadar meraih gangsa dalam acara kumite atas 68 kilogram pada temasya Sukan SEA ke-26 di Indonesia.

Kegagalan itu turut memaksa Jamalliah melupakan hasrat mencipta hatrik selepas memenangi acara tersebut pada dua edisi terdahulu, di Vientiane, Laos 2009 dan sebelum itu di Korat, Thailand pada 2007.

Turut gagal menepati ramalan emas bagi acara kata individu lelaki dan wanita Ricky Leong Tze Wai (kata lelaki individu) dan Thor Chee Yee (kata wanita individu) apabila masing-masing terkandas di saingan separuh akhir untuk sekadar meraih pingat gangsa.

Di arena taekwondo, pasangan dari Sarawak, Ahmady Rady dan Morren Urai Lian menyumbangkan satu gangsa dari acara Poomsae.

Sementara itu, 10 atlet Malaysia, yang terdiri dariapda atlet gimnastik dan menembak di Palembang dilapor mengalami keracunan selepas makan makanan yang disediakan di Perkampungan Sukan.

Pada Ahad, hari ketiga temasya yang akan berlangsung sehingga 22 Nov, sebanyak 58 pingat emas ditawarkan melalui acara renang (6), olahraga (12), sukan biliard (2), kenu (7), berbasikal (2), lawan pedang (2), gimnastik artistik (1), karate (9), silat (6), petanque (2), kasut roda (2), menembak (3) dan taekwondo (4).

Di Palembang, tumpuan terarah ke stadium olahraga dan kolam renang yang terletak di Kompleks Sukan Jakabaring.

Di Jakarta, atlet negara bagi sukan karate dan taekwondo berpeluang menebus kekecewaan emas pada acara esok.

Tiada ulasan: