Sabtu, 19 November 2011

‘Rakyat meluat perlu terima RM100 bantuan sekolah melalui BN’

Oleh: Masdar Wahid


KUALA LUMPUR: Arahan Kementerian Pelajaran agar pemberian RM100 untuk pelajar sekolah mestilah dihadiri pemimpin BN semakin menguatkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Umno BN.

Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang berkata, rakyat tahu bahawa wang itu datangnya daripada duit cukai mereka sedangkan pemimpin BN pula cuba berlakon seolah-olah wang itu datang daripada poket mereka sendiri.

“Umno terkenal dengan imej rasuahnya dan begitu juga dengan pemimpin mereka, sebab itu wajah pemimpin Umno BN ini mudah dilupakan rakyat.

“Maka arahan ini bertujuan memperingati kembali rakyat terhadap wajah pemimpin Umno, walaupun hakikatnya, rakyat cukup meluat dengan Umno,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Menurutnya lagi, jika kerajaan ikhlas dan tidak mempolitikkan pemberian wang itu, Ahli Parlimen atau Adun Pakatan Rakyat di kawasan ditadbir mereka juga perlu dijemput ke sekolah untuk berbuat demikian dan bukannya diagihkan oleh pemimpin BN setempat.

Sehubungan itu, beliau mendesak arahan itu ditarik balik serta-merta kerana ia jelas bersifat politik demi kepentingan Umno.

Beliau mengulas surat arahan dari Kementerian Pelajaran bertajuk ‘Surat makluman tambahan mengenai penyerahan bantuan khas awal persekolahan RM100 kepada murid’ bertarikh 11 November 2011.

“Mesyuarat susulan Jemaah Menteri Bil. 11/2011 pada 28 Oktober 2011 memutuskan supaya pimpinan wakil-wakil rakyat, termasuk Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau ‘wakil rakyat yang terpilih’ dari Kerajaan Persekutuan hadir menyampaikan bantuan tersebut kepada ibu bapa murid,” isi surat itu dipetik dan ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Rosli Mohamed.

Ini bukan kali pertama pentadbiran Najib mempolitikan isu pendidikan di negara ini.

Sebelum ini, berkali-kali pemimpin parti itu mengadakan program yang jelas bertujuan politik di kawasan sekolah dengan pemimpin Umno berucap dan menyerang Pakatan Rakyat.

Namun, pada masa sama, pimpinan Pakatan Rakyat kekal dihalang memasuki sekolah walaupun atas nama wakil rakyat di kawasan itu atau atas jemputan rasmi dari sekolah berkenaan.

Pada pilihan raya kecil Hulu Selangor misalnya, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terang-terangan meminta guru di sekolah itu menyokong calon BN yang bertanding.

Pada pilihan raya kecil Tenang pula, Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran didapati berkempen kepada guru-guru yang mengundi di Tenang untuk mengundi Barisan Nasional.

Tiada ulasan: