Rabu, 16 November 2011

PKR anjur kongres nasional 25-27 Nov

FREE MALAYSIA TODAY

Tumpuan kongres ini adalah tentang pilihan raya umum akan datang, kata Tian Chua.



KUALA LUMPUR: PKR dijadualkan menganjurkan Kongres Nasional di Johor dari 25 hingga 27 Nov, kata naib presidennya Tian Chua.

Beliau berkata kira-kira 2,000 delegasi parti dan pemerhati akan menghadiri kongres tiga hari itu yang akan diadakan di Pulai Spring Resort di Johor Baharu, bermula dengan mesyuarat agung tahunan sayap Pemuda dan Wanita pada 25 Nov.

“Tumpuan kongres ini adalah tentang pilihan raya umum akan datang. Kami bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya. Pada asasnya ia adalah kongres Pilihan Raya bagi kami,” katanya apabila dihubungi.

Katanya Johor dipilih sebagai hos berdasarkan sistem penggiliran yang diamalkan oleh parti untuk mengadakan kongres nasional parti.

“Kami tidak pernah menganjurkan kongres di Johor. Sehubungan itu, ia diputuskan masa terbaik untuk kita berbuat demikian tahun ini. Lebih-lebih lagi Johor adalah kawasan baru bagi perjuangan kami,” tambahnya.

Berhubung pembahagian kerusi di kalangan pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS untuk pilihan raya akan datang, Tian Chua berkata ia telah hampir selesai melainkan untuk beberapa kerusi yang memerlukan perbincangan lanjut.

“Kali ini, tidak banyak isu seperti yang sudah-sudah. Kesemua 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat akan bertanding,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: