Nigel Aw Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata bahawa keputusan untuk tidak meneruskan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah muktamad.
"Kabinet pada 2009 sudah buat keputusan PPSMI tidak akan diteruskan. (Esok) kita akan jelas satu persatu 'concern' ibu bapa dan bagaimana untuk menangani masalah ini di masa hadapan," katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan dengan Guru-Guru Bahasa Inggeris: SMR HR Group di Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru katanya, beliau mahu semua polemik berhubung isu itu dihentikan kerana kementerian tidak akan tunduk lagi pada sebarang desakan daripada mana-mana pihak.
"Bagi kerajaan dan majoriti rakyat faham, sejak diumum pemansuhan dasar itu pada 2009 kita tidak menerima reaksi negatif, sebahagian besar terima baik.
“(Ini) termasuk apabila saya bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibincang dan dibahaskan, semua pihak setuju termasuk pembangkang, pada waktu itulah," katanya.
Katanya, pemansuhan PPSMI tidak dilakukan secara terburu-buru atau berdasarkan politik, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara.
"Kementerian Pelajaran mempunyai cukup data dan maklumat tentang bagaimana PPSMI dilaksana, apa 'outcome' pelaksanaannya yang kita nilai dan kemudiannya memutuskan untuk memansuhkan dasar itu," katanya.
Lebih penting, katanya, adalah soal peralihan dasar dan pelaksanaannya yang akan diumumkan esok.
Muhyiddin berkata, beliau akan membuat penjelasan terperinci bagaimana kedudukan PPSMI dan bagaimana MBMMBI akan dilaksanakan, khususnya yang berkaitan peralihan berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan