KUALA LUMPUR 18 Nov: Kongres Nasional KEADILAN kelapan bakal berlangsung di Pulai, Johor selama tiga hari daripada 25 hingga 27 November ini menampilkan logo kuda kepang – logo yang berlainan daripada sebelum-sebelumnya.
Logo tersebut menggunakan kuda kepang berlatar-belakangkan bendera Johor sebagai simbolik ia dilangsungkan di negeri itu.
Kuda Kepang merupakan tarian tradisional yang sinonim negeri itu turut digunakan bagi menarik minat penduduk di Johor.
Dikenali sebagai tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa, Indonesia – kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia, khususnya di negeri Johor, dan biasa dimainkan di majlis keramaian.
Logo tersebut menggunakan warna rasmi bendera parti KEADILAN iaitu biru yang melambangkan keadilan, merah, keberanian rakyat serta dan putih yang melambangkan bersih.
Idea logo tersebut diilhamkan sendiri oleh Sekretariat Kongres KEADILAN bersama Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.
Sementara itu, Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong, Hasmi Hashim berkata pilihan Johor bagi Kongres kelapan membuktikan KEADILAN menunjukkan usaha dan komitmen untuk menawan negeri tersebut.
“Ini pertama kali kongress ini dibuat dan mengikut pengalaman, di mana negeri kita adakan kongres, negeri itu kemudiannya akan jatuh kepada Pakatan Rakyat seperti sebelum ini di Pulau Pinang dan Kedah.”
“Memang orang kata ini kebetulan namun kita dapat lihat seolah-olah ada keajaiban politik yang berlaku namun KEADILAN perlu berhati-hati dalam memilih calon kelak.”
Bercakap tentang logo, Hasmi berkata kuda kepang sememangnya satu pilihan tepat untuk menonjolkan negeri yang tidak asing lagi dengan tarian tradisional itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan