Isnin, 14 November 2011

Khairy: AUKU halang ramai mahasiswa sertai Umno

MALAYSIA KINI

Mahasiswa yang diberi kebebasan untuk menceburi bidang politik diyakini tidak akan mengabaikan pengajian mereka, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

NONEBeliau berkata ini kerana mahasiswa yang berpolitik mempunyai pandangan yang luas dan terbuka serta mempunyai sikap yang sihat.

"Saya aktif dalam bidang di luar akademik ketika di universiti tetapi saya juga beri tumpuan pada akademik malah ia bantu saya untuk berfikiran lebih kreatif dan kritis.

"Kalau beri kebebasan pun majoriti pelajar universiti tidak minat politik, ia sebahagian kecil sahaja. Kita boleh beri nasihat supaya kalau mereka nak terlibat dalam politik keutamaan adalah pengajian mereka," katanya selepas merasmikan saringan zon tengah pertandingan pidato politik Piala Perdana Menteri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Canselor UiTM Datuk Prof Sahol Hamid Abu Bakar bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak perlu dipinda.

Sahol Hamid dilaporkan berkata politik di universiti hanya akan memecahkan perpaduan sesama penuntut sedangkan matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapatkan pekerjaan bagi menjamin masa depannya.

NONEPemuda Umno sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU yang melarang pelajar daripada terbabit atau meluahkan rasa simpati serta sokongan kepada mana-mana parti politik negara ini.

Khairy berkata ramai mahasiswa yang ingin menyertai perjuangan Umno tetapi disebabkan kekangan undang-undang di negara ini mereka tidak dapat merealisasikan hasrat itu.

"Kita jangan fikir bila beri mereka peluang untuk berpolitik mereka akan terus anti-kerajaan atau menentang kerajaan. Mereka ada sikap sihat untuk soal dasar kerajaan tetapi ini tidak bermakna mereka menentang kerajaan, ramai yang punyai fikiran kritis tetapi sokong kerajaan," katanya.

Mengenai saringan pertandingan pidato politik, Khairy berkata ia diadakan mengikut zon dan terbuka kepada mahasiswa, profesional muda yang pernah terlibat dalam debat di universiti dan sekolah serta orang awam.

Beliau berkata program anjuran unit pidato Pemuda Umno itu akan diteruskan di empat zon iaitu zon utara, selatan, pantai timur dan Sabah serta Sarawak.

Pertandingan akhir akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 29 Nov ini.

Ini adalah salah satu pendekatan Pemuda untuk memberi ruang kepada mereka yang minat politik untuk mengetengahkan potensinya sebagai bakal pemimpin di masa akan datang, katanya.- Bernama

Tiada ulasan: