Rabu, 9 November 2011

Kemudahan asas di Sabah, S'wak diabai BN

MALAYSIA KINI

Isu kemudahan asas di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak menjadi salah satu topik utama yang dibangkitkan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Parlimen, semalam.

NONEDatuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) (kanan, tengah) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar) mempersoalkan aspek pelaksanaan di peringkat kementerian kerana banyak kemudahan di dua negeri itu yang disediakan masih tidak dapat digunakan setelah beberapa lama.

"Seperti bekalan elektrik, pemasangan lengkap, pendawaian semua ada. Banyak yang kita boleh nampak tapi tak boleh guna. Bekalan air pun sama. Ada paip tapi tiada air. Sampai hari ini kementerian tidak ambil tindakan," kata Tiong semasa perbahasan peringkat jawatankuasa.

Tiong turut mempersoalkan mengapa kontraktor tempatan tidak dilantik bagi memudahkan urusan penyelenggaraan kemudahan asas di sesuatu kawasan.

NONE"Kenapa tidak dilantik dari kawasan yang sama. Ini kita di Bintulu, kontraktornya dari Miri. Bila ada masalah kita hubungi mereka tapi susah nak berurusan. Satu kontraktor kecil kepada pelbagai kontraktor lain sudahnya huru-hara dan sudahnya tidak sempurna" katanya.

Isu bekalan elektrik turut dibangkitkan oleh Datuk Ago Anak Dagang (BN-Kanowit) yang mempersoalkan mengapa daerah itu masih tidak mempunyai kemudahan lampu jalan walaupun tiang-tiang lampu sudah dipasang sejak dua tahun lalu.

"Banyak lampu jalan yang disediakan tapi tidak juga menyala. Sudah hampir dua tahun perkara ini berlaku. Tak guna dipasang kalau tidak boleh diguna dan beri kemudahan pada rakyat," katanya.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun ketika menggulung perbahasan itu berkata kira-kira lapan hingga 11 loji air yang besar di Sarawak akan dinaiktaraf bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di negeri berkenaan menjelang tahun 2013.

Katanya masalah air yang dihadapi penduduk Sarawak berpunca daripada kapasiti loji yang kecil dan melambatkan projek pembekalan air ke kawasan luar bandar.

NONEMenjawab persoalan mengenai bekalan elektrik, Joseph berkata kementerian bekerjasama dengan Syarikat SESCO Berhad dalam pelaksanaan semua projek bekalan elektrik di Sarawak, dan pemantauan turut dijalankan dari semasa ke semasa.

"Semua pemasangan mesti dapat kelulusan rekabentuk daripada SESCO sebelum kerja-kerja tambahbina dimulakan. Kalau tak ikut spesifikasi, kerja-kerja pembaikan perlu dibuat sebelum projek mula tugas," katanya.

Bagi negeri Sabah, katanya, setiap lampu jalan yang dipasang di negeri itu akan diserahkan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd bagi urusan operasi dan penyelenggaraan.

"Oleh itu, jika terdapat sebarang masalah kita galakkan penduduk menghubungi talian 15454 dan SESB akan mengambil tindakan pembaikan dalam masa tiga hari bekerja," katanya.

Persidangan Dewan bersambung hari ini.- Bernama

Tiada ulasan: