Ahad, 13 November 2011

Kemalangan Maut Di Slim River: Pelajar, Guru Dilindungi Insurans

MSTAR ONLINE

KULIM: Dua pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang di Slim River awal pagi Jumaat, dilindungi insurans.

Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu Abu Bakar Md Ali berkata pihak Jabatan Pelajaran akan menguruskan tuntutan insurans untuk keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.

"Pihak jabatan akan menguruskan berhubung dengan pampasan yang layak diperoleh oleh keluarga yang kematian anggota keluarga mereka dalam kemalangan tersebut, dan juga mereka yang tercedera dan sebagainya," katanya ketika dihubungi semasa berada di Hospital Teluk Intan untuk melawat pelajar dan guru yang dirawat di hospital itu.

Dalam insiden pukul 5 pagi itu, empat maut manakala lima cedera parah apabila sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas rombongan sekolah yang berhenti di tepi jalan selepas terbabas.

Mereka yang maut ialah guru Siti Hajar Mohamad, 33, serta dua pelajar Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra Zaidi, 15, yang mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Turut maut ialah Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45, yang berhenti di tempat kejadian kerana ingin membantu mengeluarkan pelajar dari bas yang terbalik itu.

Sementara itu, Zaidi Mohammad, 43, berkata Maysarra seorang anak yang baik dan merupakan pelajar pintar dalam kelasnya.

"Apakan daya Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan ketentuan itu, tetapi amat pedih rasa yang saya tanggung ini," katanya ketika ditemui di rumah di Taman Angsana pada Sabtu.

Zaidi, juruteknik di sebuah kilang di sini, berkata Maysarra rajin belajar dan dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Allahyarham memperoleh 8A. Beliau berkata ketika kejadian, anaknya bersama lebih 60 pelajar lain yang selesai menduduki peperiksaan PMR dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands, Pahang untuk lawatan sambil belajar.

Katanya, jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Menora, Tasik Gelugor, Pulau Pinang selepas solat Isyak malam Sabtu.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Mazlina Abdullah, 37, berkata sejak kecil lagi Maysarra bercita-cita menjadi seorang doktor. -BERNAMA

Tiada ulasan: