Isnin, 14 November 2011

Buruknya Perangai Awang Adek

MSO


TADI saya tertenguk sebuah klik video kecil dalam you tube mengenai telatah Awang Adek Hussein yang pernah diwar-warkan bakal menjadi MB Kelantan tahun 2008 menolak pemberian risalah kempen mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan oleh ahli-ahli kempen royalti minyak, Gerak.

Saya nampak dua atau tiga orang ahli Gerak cuba menghulurkan risalah itu yang berupa ucapan Tun Razak di Parlimen tahun 1975 mengenai kedudukan royalti minyak dan hak rakyat Kelantan. Ucapan Tun Tazak itu dicetak menjadi risalah untuk bacaan orang ramai, bagi mengingati apa yang pernah menjadi harapan Tun Razak dalam perjanjian carigali minyak di antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas.

Mungkin sebelum ini ramai yang tidak percaya kalau Tun Razak ada membuat ucapan demikian. Tetapi apabila ucapan itu dikorek dan dijadikan risalah, baru diketahui orang ramai akan kedudukannya. Sudah tentu tujuan Gerak membangkitkan perkara itu untuk mengetahui latar belakang berhubung royalti minyak 5% untuk Kelantan.

Risalah itu katanya telah diserahkan kepada perdana menteri, Najib Razak yang merupakan anak bekas PM kedua itu. Nazri Aziz telah menerima risalah itu bagi pihak Najib dengan baik dan penuh mesra. Gerak, kerajaan Kelantan dan rakyat Kelantan seluruhnya mengharap dengan penyerahan risalah berkenaan ia boleh memberi keinsafan kepada Najib bagi melaksanakan apa yang menjadi cita-cita ayahandanya.

Tidaklah pula Nazri enggan menerima penyerahan rialah berkenaan sebagai simbolik tuntutan rakyat Kelantan itu. Malahan Nazri dilaporkan sempat bermesra dengan beberapa orang wakil rakyat Pas yang ikut sama bersama rombongan penyerahan itu yang diketuai oleh Husam Musa.

Risalah itu juga dibuat sempena ulang tahun ucapan itu dibuat oleh Tun Razak.

Saya tidak mahu hendak mengulas apakah risalah itu mampu menyentuh pintu hati Najib kemudian sedia memberikan royalti 5% kepada Kelantan. Sukar untuk mementukan sesuatu yang telah dijadikan isu politik dapat diselesaikan seperti mana diharapkan. Bukan saja dalam kes isu royalti itu, tetapi dalam kes-kes lain juga bila ia dipolitikkan, akhirnya ia menjadi buruk dan tidak berdiri atas prinsip sebenarnya.

Tetapi apa yang hendak diulas di sini ialah mengenai sikap Awang Adek yang menolak pemberian poster kempen oleh Gerak itu. Keengganan Awang Adek untuk tidak menerima poster itu nampak sangat akan kesombongannya. Tidak sepatutnya seorang timbalan menteri dan pemimpin Umno Kelantan bersikap seperti itu.

Apa salahnya kalau beliau menerima risalah seperti Nazri habis cerita. Kalau dia terima ia tidak akan jadi isu. Tetapi dengan menolak pemberian poster itu, ia akan dijadikan isu oleh Gerak dan Pas Kelantan bagi menggambarkan betapa sombongnya Awang Adek. Setiap orang melihat telatah Awang Adek itu akan rasa mual dan kesal. Orang akan nampak sifat sebenar Awang Adek sebagai pemimpin Umno yang berada di luar Kelantan. Apa-apa kebaikan dan sikap berjurus dia semasa di Bachok akan dicemari dengan telatah beliau dalam you tube itu.

Sikap sebegitu juga bukan menunjukkan sifat seorang pemimpin berjiwa besar. Kalau pun beliau tidak mahu membacanya dan menilai petikan ucapan Tun Razak itu, tetapi ambil sajalah poster berkenaan kemudian beliau berlalu ke tandas dan sumbatnya ke dalam mangkuk tandas. Beliau tidak akan terpengaruh dengan petikan ucapan Tun Razak dan dia juga tidak dilihat sebagai sombong dan angkuh.

Dengan apa yang dilakukan Awang Adek itu orang boleh mentafsirkan bahawa di antara pemimpin yang berdendam dengan rakyat Kelantan ialah Awang Adek. Orang akan menuduh beliaulah yang berusaha menyekat agar royalti supaya tidak diberikan kepada rakyat Kelantan. Mungkin Najib sudah terbuka hati untuk menilai pemberian itu seperti mana termaktub dalam perjanjian tetapi oleh kerana ada penentang seperti Awang Adek, maka ia ditangguhkan. Saya tidak fikir Najib sedia meneruskan kekejaman dan kezalimi dimulakan Mahathir Mohamad. Tetapi bila mana ada pemimpin Umno Kelantan yang memberi nasihat dan mahukan supaya rakyat Kelantan diajar - dihukum, maka Najib juga tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebaliknya Najib sebagai PM tidak perlu sangat mendengar nasihat para pemimpin 'labu punggi' di Kelantan itu, Najib seharusnya sedar dia diberikan Tuhan peluang untuk membantu semua orang. Dengan mendengar penasihat pemimpin 'labu punggi' begitu, maka ia akan terleset dengan Najib sendiri sebagai pemimpin yang menzalimi rakyat.

Saya percaya kalau ketika ini Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pemimpin Umno Kelantan hak rakyat Kelantan itu sudah pun dikembalikan. Sudah pasti Tengku Razaleigh akan menasihati perdana menteri supaya mematuhi apa yang dimaktubkan dalam perjanjian dan Akta Petrolium 1975. Ternyata dari segi kualiti dan wibawa Tengku Razaleigh jauh lebih profesional daripada beberapa pemimpin 'labu punggi' di Kelantan sebelum ini. Labu punggi ialah sejenis buah yang menyimpan air dan ia akan membesar sehingga mencecah sebesar tiga biji bola sepak.

Labu punggi juga yang hanya tahu menelan dan menyerap air ke buyungnya tetapi tidak tahu membuangnya sehinggalah ia matang membuncit dan akan pecah berkecai. Isinya sedap disira dengan gula, tetapi khasiatnya tidak seberapa sangat

Tiada ulasan: