KUALA LUMPUR — Perhimpunan Agung Umno 2011 akhir bulan ini sangat penting dalam perjuangan parti itu untuk merebut kembali majoriti dua pertiga bagi Barisan Nasional (BN) di Parlimen, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata perhimpunan kali ini, yang akan berlangsung mulai 29 November hingga 3 Disember, akan menumpukan pada isu-isu membabitkan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Perhimpunan kali ini berkemungkinan besar akan menjadi yang terakhir sebelum rakyat mengundi bagi menentukan kerajaan baru dan ia akan berlangsung di sebalik spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat.
Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno akan merasmikan perhimpunan pada 1 Disember.
“Saya yakin ucapan (dasar) Presiden Umno (Datuk Seri Najib) akan berkisar mengenai persiapan kita menghadapi pilihan raya dan persiapan yang kta perlu lakukan,” kata Tengku Adnan (gambar) dipetik Berita Harian hari ini.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata, keadaan itu penting kerana BN bukan sahaja mahu kekal menguasai kerajaan, malah mahu mengembalikan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.
Pada pilihan raya umum 2008 BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. BN memperoleh 140 kerusi manakala pembangkang 82.
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Perhimpunan Agung Umno kali ini seperti lazimnya, bermula dengan persidangan antarabangsa berkenaan masalah politik antarabangsa, disusuli taklimat presiden dan pada malamnya Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketiga-tiga sayap itu akan bermesyuarat pada hari berikutnya iaitu 30 November, disusuli dengan perasmian Perhimpunan Agung Umno oleh Presiden parti pada 1 Disember dan majlis penutup pula 3 Disember.
Berhubung soalan sama ada sesetengah program sempena Perhimpunan Agung Umno kali akan diadakan secara tertutup, Tengku Adnan berkata, tidak ada yang dilangsungkan secara tertutup kecuali ketika taklimat presiden kepada perwakilan yang sememangnya dibuat secara tertutup setiap tahun. The Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan