Muda Mohd Noor
Seorang ketua Wanita Umno Johor menafikan mereka telah bersumpah dengan nama Allah untuk menyokong Tan Sri Rafidah Aziz mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno.
Beliau juga menafikan dijanjikan wang tunai RM2,000 seorang setiap bulan sehingga Mac depan oleh Rafidah dalam satu pertemuan di rumah bekas menteri itu di Bukit Damansara semalam.
Para perwakilan Wanita di negeri itu juga didakwa akan menerima RM2,000 seorang setiap bulan demi memastikan sokongan kepada penyandang jawatan itu.
"Ada orang tanya saya semalam, perwakilan Wanita Johor pergi ke rumah Rafidah untuk bersumpah menyokong beliau mempertahankan jawatan ketua Wanita.
"Saya kata tidak, tetapi kita pergi kerana untuk mengetahui perkembangan terbaru pertandingan antara Tan Sri Rafidah dan Datuk Seri Shahrizat.
"Tetapi kita tidak bersumpah dan tidak juga mendapat wang seperti tersebar berita melalui SMS," kata ketua Wanita bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah, yang mengakui turut menerima SMS tersebut.
Semalam tersebar SMS yang mendakwa 11 bahagian Wanita Johor telah diarahkan ke rumah Rafidah untuk berbuat demikian.
Rafidah akan dicabar oleh naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam pemilihan parti 24 Mac ini.
Menurut mesej itu, perwakilan yang hadir dari Tanjung Piai, Johor Bahru, Pulai, Segamat, Labis, Parit Sulong, Tenggara, Ayer Hitam, Gelang Patah dan Batu Pahat.
Bagaimanapun, jelas Haliza, ketua Wanita Segamat dan Labis tidak datang kerana menghadiri program bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.
“Rombongan kami berada selama kira-kira sejam di rumah Tan Sri Rafidah mulai jam 2 petang sebelum pulang ke Johor.
“Rombongan ini diketuai ketua Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Sadique dan disertai oleh 35 orang perwakilan dengan menaiki sebuah bas yang disewa.
“Sebelum itu kami mengadakan lawatan ke bangunan Parlimen untuk melihat sendiri perbahasan anggota-anggota Dewan Rakyat khususnya Datuk Halimah yang juga wakil rakyat Tenggara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan