Selasa, 2 Disember 2008

Timbalan menteri calon BN di KT?

Muda Mohd Noor


Lima nama disebut-sebut akan disenaraikan untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Razali yang juga timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands sewaktu menghadiri permukiman anjuran Umno Terengganu.

Lima nama tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (foto); timbalan ketua bahagian Mohd Sabri Alwi; ketua penerangan Umno negeri, Datuk Zuber Embong, bendahari Umno Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik dan bekas ketua penerangan Umno bahagian, Mohd Zuber Embong.

Selain Wan Ahmad Farid, Mohd Sabri juga dikatakan mempunyai peluang yang cerah untuk dipilih bertanding kerusi tersebut.

Jika dipilih, pertandingan ini pilihanraya yang pertama disertai mereka.

Tempoh pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai senator akan tamat pada 31 Disember ini.

Zuber pula pernah kalah di parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya umum 1990.

Selepas itu, namanya tidak muncul sehinggalah dilantik sebagai ketua penerangan Umno negeri pertengahan tahun ini.

Calon pilihan

Roslan yang juga presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia pernah menjadi ahli dewan undangan negeri (Adun) Ladang pada 1995 tetapi tewas di tangan calon PAS Dr Sulaiman Abdullah pada 1999.

Bagaimanapun, Mohd Zuber, seorang pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu, kalah bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian baru-baru ini.

Wan Ahmad Farid dan Mohd Sabri merupakan dua pemimpin yang dikatakan rapat dengan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sebelum dilantik kepada jawatannya sekarang, Wan Ahmad Farid bertugas sebagai setiausaha politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (sekarang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri).

Mohd Sabri, seorang kontraktor, rapat dengan Khairy kerana sebelum ini beliau ketua Pemuda Umno Terengganu.

Mesyuarat Pemuda bahagian Kuala Terengganu sebulat suara telah mencalonkan Khairy sebagai calon ketua Pemuda Umno untuk pemilihan, Mac depan.

Ketika dihubungi hari ini, ketua Puteri Umno Terengganu, Senator Nordiana Shafie berkata, Wan Ahmad Farid dan Mohd Sabri disebut-sebut bakal calon BN dalam pilihanraya kecil itu.

Serah pada pucuk pimpinan

Bagaimanapun, beliau yang juga ketua pergerakan Puteri bahagian berkata, Wan Ahmad Farid dijangka menjadi pilihan utama untuk mewakili BN.

Tambahnya, Umno mempunyai peluang besar untuk mempertahankan kerusi berkenaan jika meletakkan calon yang sesuai.

"Datuk Wan Ahmad Farid sudah dikenali pengundi Kuala Terengganu. Umno perlukan calon yang boleh diterima oleh semua pihak, bukan sahaja orang Umno, tetapi juga penyokong parti lawan dan pengundi atas pagar.

"Beliau pun bukan muka baru... orang sudah kenal beliau. Agak melegakan kerana tidak mendengar akan berlaku perebutan hendak menjadi calon di kalangan pemimpin parti di sini (Kuala Terengganu).

"Kerana itu, peluang Umno cerah kerana kita sudah menang dua penggal berturut-turut, lagi pun parlimen Kuala Terengganu adalah tempat kita," katanya.

Nordiana berkata, Umno bahagian Kuala Terengganu akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua atau tiga hari lagi untuk mengenal pasti calon sesuai.

Setiausaha kerja Umno negeri, Razali Bidin berkata, Umno tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan calon sesuai kerana ramai yang boleh diketengahkan.

Bagaimanapun, katanya, biarlah pucuk pimpinan yang menentukan calon untuk kerusi parlimen tersebut.

Kerusi panas ini pernah jatuh di tangan pembangkang pada pilihanraya 1990, Datuk Abdul Manan Othman (Semangat 46) dan 1999, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS).

Dalam pilihanraya umum lepas, calon BN menang dengan majoriti kecil 628 undi, menewaskan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: