Rabu, 3 Disember 2008

Gantung Zahar, Umno jaga kepentingan Presiden dan Timbalan

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - PAS menyifatkan keputusan Umno mengantung keahlian Kapten (B) Dato' Zahar Hashim selama tiga tahun sebagai tindakan menjaga kepentingan Presiden dan Timbalannya.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar ketika diminta mengulas keputusan Umno itu berkata, keputusan itu jelas mengambarkan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden Umno kebal dan mempunyai kepentingan yang harus dilindungi.

"Kenapa Zahar digantung sedangkan beliau mendedahkan salah laku Presiden dan Timbalannya?" soal Kamaruddin.

Zahar sebelum ini telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Abdullah yang didakwa telah menyalahguna kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pemilihan parti dan pencalonan.

Beliau juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses tender kerajaan untuk membeli helikopter baru bagi Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Kamaruddin berkata sepatutnya lembaga displin Umno dan Majlis Tertinggi Umno menyiasat laporan yang dibuat terhadap Abdullah dan Najib bukan mengantung individu yang membuat laporan.

Keputusan yang dibuat ini kata beliau, mengambarkan Umno tidak serius membanteras rasuah dan politik wang berlaku dalam parti itu.

Beliau juga menegaskan rasuah dan politik wang semakin berleluasa dalam Umno dan ianya sukar dibendung sehingga bekas presiden parti itu, Tun Mahathir Mohamad berhasrat untuk mendedahkan nama pemimpin parti itu yang terlibat dalam amalan tersebut .

"Malangnya, bila ada yang melaporkan perkara ini dan bila ianya melibatkan presiden dan timbalannya, kepentingan kedua pemimpin itu dijaga dan rasuah terus dibiarkan bermaharajalela," jelas beliau.

Sementara itu ketika diminta mengulas pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim, beliau berkata keputusan itu sudah diduga.

Beliau menasihatkan Umno supaya lebih bersikap terbuka dalam menerima teguran dan pendapat ahli yang berbeza dengan parti.

"Kita lihat hari ini semakin ramai ahli Umno yang memberikan pandangan berbeza dengan parti jadi tidak seharusnya mereka dikenakan tindakan," jelas ahli parlimen Tumpat itu.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan tindakan memecat serta merta keahlian Dato' Zaid Ibrahim dan menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun. - mks. _

Tiada ulasan: