Isnin, 8 Disember 2008

Qurban mengeratkan perpaduan ummah

Daripada Ali Bukhari Amir


PHNOM PENH - Manifestasi ibadah Qurban sebagaimana yang difardhukan adalah bertujuan mengeratkan perpaduan sesama kaum Muslimin.

"Korban yang paling senang diberikan ialah korban sembelihan lembu di Kemboja," kata wakil an-Nahar Management kepada Harakah Daily di sini hari ini.

Pengurus Operasi an-Nahar Management, Azhar Abdul Shukor, 43, berkata dalam acara kali ini, pihaknya melibatkan kira-kira 20 orang peserta dari Malaysia termasuk kumpulan nasyid Devotees dan Astro Oasis.

"Kita bahagikan para peserta kepada empat kumpulan dan mereka dipecahkan kepada beberapa buah desa dan tempat tertentu untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha di sini," tambahnya.

Menurut Azhar, antara kampung dan tempat yang terlibat adalah Masjid Reckeee, Kg Chrai on Daet, Takeo, Kg Cham dan lain-lain.

300 haji Kemboja terkandas

Sementara itu, mengulas kejadian lain, Timbalan Governor Wilayah Kg Cham, Yang Berhormat Haji Sokpri Kassim, 52, berkata ramai orang Islam di Kemboja yang terkandas ketika menunaikan fardhu haji tahun ini.

"Ini berlaku kerana lapangan terbang Suvarnabhumi di Bangkok ditutup ekoran tunjuk perasaan ke atas kepimpinan kerajaan Thai baru-baru ini.

"Masyarakat Islam Kemboja tiada jalan lain. Mereka mesti transit di lapangan terbang Suvarbhumi terlebih dahulu sebelum tiba ke Jeddah.

"Padahal, bukan senang mereka mahu ke Mekkah. Mereka terpaksa menunggu lama untuk jual tanah, jual lembu dan hasil ternakan lain," tambah Haji Sokpri. _

Tiada ulasan: