Selasa, 2 Disember 2008

Ku Li: Pemilihan Umno ala pilihan raya mampu selesai masalah politik wang

BERNAMA


KOTA BAHARU: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah semalam mencadangkan supaya pemilihan Umno dilakukan secara ala pilihan raya, yang membenarkan semua anggotanya daripada peringkat cawangan hingga ke bahagian membuat pilihan siapa yang layak memimpin parti itu, sebagai langkah mengatasi masalah politik wang.

Beliau berkata pemilihan parti tidak sepatutnya dilakukan perwakilan sahaja, dan cadangan ini menyukarkan mereka yang cuba menabur wang untuk meraih sokongan kerana terpaksa merasuah semua anggota Umno yang layak mengundi.

"Lakukan pemilihan parti seperti pemilihan dalam pilihan raya, baru tak timbul politik wang. Kalau tiga juta ahli Umno yang layak mengundi, mana nak cari duit nak beri pada tiga juta (anggota Umno) ini. "Apa salahnya cara ini dilaksanakan. Kita sudah melalui pilihan raya umum sebanyak 12 kali, kita boleh tadbir pemilihan untuk 10 juta pengundi. Ini perkara kecil bagi Umno, tidak perlu badan khas untuk uruskan, jentera parti pun boleh buat," katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun berkata kaedah pemilihan baru itu hanya boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Umno dipinda, dan ia bukan perkara yang sukar untuk dilakukan jika pemimpin dan anggota Umno benar-benar mahu menghapuskan politik wang.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing, dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu, bagi membanteras politik wang dalam Umno.

Menyentuh isu perebutan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno antara penyandang Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Tengku Razaleigh berkata pertandingan itu akan menyuburkan demokrasi dalam parti.

"Pada saya Wanita (Umno) akan bertambah baik kalau ada pemilihan. Tidak semestinya akan berlaku perpecahan, tapi ia perlu dilakukan secara sihat," katanya yang sudah 'tutup buku' berhubung episod bertanding jawatan Presiden Umno setelah hanya mendapat satu pencalonan iaitu daripada bahagian yang diketuainya, Gua Musang pada mesyuarat perwakilan bahagian awal bulan lepas.

Tiada ulasan: