Rabu, 10 Disember 2008

Harga minyak sawit dijangka cecah RM2,200 setan

Oleh CYNTHIA YEOH


KUALA LUMPUR - Boustead Holdings Bhd. (Boustead), konglomerat tempatan, mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) akan meningkat kepada RM2,000 hingga RM2,200 setan menjelang enam bulan pertama tahun depan berbanding RM1,450 setan ketika ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, unjuran ini berdasarkan kepada pertambahan permintaan minyak sawit dalam pasaran berikutan penurunan harga komoditi itu sejak beberapa bulan sebelum ini.

Katanya, permintaan terhadap minyak berkenaan terus meningkat daripada para pembeli China yang lebih cenderung membeli komoditi itu berbanding minyak soya yang harganya lebih tinggi, kira-kira AS$300 (RM1,080) setan.

''Harga ini (minyak sawit pada masa sekarang) begitu menarik buat mereka,'' katanya selepas mesyuarat agung luar biasa Boustead di sini, hari ini.

Selain itu, Lodin menjelaskan para pemegang saham Boustead telah meluluskan cadangan untuk melupuskan aset perladangan terpilihnya kepada Reit Al-Hadharah Boustead (Reit Al-Hadharah) bernilai RM188.8 juta.

Katanya, dua aset perladangan yang akan dilupuskan itu adalah ladang Malakoff pada harga RM100.5 juta dan ladang Bebar bernilai RM88.3 juta.

Melalui suntikan kewangan tersebut, portfolio aset semasa Reit Al-Hadharah meningkat kepada 16,420 hektar berbanding 12,680 hektar sebelum ini.

Lodin berkata, jumlah keluasan ladang itu membolehkan ia memiliki Reit perladangan terbesar di Malaysia dan Reit Islam perladangan terbesar di dunia.

Ditanya tentang cadangan syarikat memperkenalkan Reit perladangan Islam yang lain, Lodin berkata, ia akan direalisasikan pada masa depan bergantung pada masa yang sesuai, buat masa ini kita hanya menumpukan kepada Reit Al-Hadharah.

''Kami memiliki rancangan melancarkan Reit hartanah pada masa depan tetapi setakat ini, ia masih di peringkat awal,'' kata beliau.

Tiada ulasan: