Khamis, 11 Disember 2008

Datuk Bandar Marawi beri layanan istimewa

Azamin Amin


MARAWI CITY - Para anggota misi kemanusiaan yang turut disertai wartawan Harakahdaily dihargai semalam apabila Datuk Bandar Marawi City mengalu-alukan ketibaan kami.

Malah, lebih menyentuh hati,kami diberikan layanan ibarat VIP sehingga diiringi oleh pihak polis sepanjang perjalanan di bandar tersebut.

Walaupun mengetahui pengiringan tersebut lebih atas dasar keselamatan,namun tumpuan dan keperihatinan yang diberikan oleh Datuk Bandar jelas menampakkan rasa penghargaan atas misi yang dibawa oleh kami.

Semalam, anggota misi berada di dua lokasi iaitu di bandar Marawi dengan melakukan sembelihan korban dan membuat persembahan nasyid oleh Juara Akademi Nasyid,Azhan. Persembahan Azhan di bandar Marawi mendapat sambutan ramai dan tepukan gemuruh daripada para penonton.

Setelah itu, anggota misi bergerak ke hospital di bandar tersebut untuk melihat dengan lebih dekat mangsa-mangsa peperangan serta mendapat taklimat serba ringkas daripada pihak hospital.

Kebetulan, ketika di sana, pihak hospital yang sedang membuat kursus induksi untuk lebih 200 jururawat dan stafnya telah menjemput Azhan untuk membuat persembahan.

Dalam majlis tersebut anggota misi kemanusiaan telah diberikan layanan baik oleh semua.

Sebanyak 10 ekor lembu dan 30 ekor kambing telah dikorbankan semalam.

Sementara itu, perjalanan kami ke bandar Kagayan telah mengambil masa lebih 3 jam. Sepanjang perjalanan kami diberikan kawalan ketat. Malah, di kawasan Hotel Kagayan juga kami turut diberikan kawalan ketat oleh pihak polis. - mks._

Tiada ulasan: