Khamis, 6 November 2008

Dunia rai Obama

BERITA HARIAN ONLINE


CHICAGO: Seluruh dunia menyambut kemenangan besar Barack Hussein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang memberi harapan menyaksikan perubahan dalam sikap Amerika terhadap menangani masalah keselamatan dan ekonomi sejagat.

Obama, 47, dari parti Demokrat yang muncul Presiden kulit hitam pertama AS apabila menewaskan lawannya dari Republikan, John McCain, turut mengetuai parti Demokrat memperluaskan penguasaan di kedua-dua Dewan Kongres.

"Kita perlu mengubah krisis sedia ada kepada peluang baru," kata Obama dalam ucapan sulungnya di depan hampir 200,000 penyokongnya di Grant Park, di sini, semalam, sambil beberapa kali mengulangi 'perubahan', yang menjadi tema kempennya. Obama yang popularitinya menyamai bekas Presiden John F Kennedy yang mati dibunuh pada 1963, malah diberi jolokan 'John F Kennedy kulit hitam,' menegaskan perubahan sudah tiba di AS serta menggesa semua rakyat negara itu bersatu bagi mengharungi cabaran getir pada tempoh mendatang.

Kemenangan yang berlaku selepas 45 tahun kemuncak pergerakan hak asasi diketuai Martin Luther King III itu, turut menyaksikan Obama mewarisi Amerika dalam keadaan ekonomi yang dibayangi krisis kewangan terburuk sejak 1930-an serta dua kempen ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.

"Jalan di depan kita memang panjang. Pendakian kita juga amat curam. Kita tidak mungkin dapat mengharunginya dalam masa setahun atau sepenggal pun. Namun Amerika, saya sendiri tidak pernah berasa sebegitu mengharap dan yakin kita sememangnya mampu ke sana."

Obama, yang kempennya diselangi detik penuh retorik, sempat menyelami hakikat sebagai Presiden kulit hitam pertama dalam sejarah AS.

"Ini adalah jawapan kepada pertanyaan ramai yang selama ini diselubungi rasa sinis, bimbang dan sangsi sama ada kita mampu mencipta sejarah dan seterusnya melahirkan harapan yang keadaannya jauh lebih baik selepas ini."

"Memang ini sesuatu yang sudah lama kita nantikan, tetapi malam ini, berdasarkan apa yang sudah kita lakukan dan capai dalam pilihan raya ini dan di saat ini, perubahan sudah pun tiba di Amerika," katanya.

Kalangan pemimpin Asia, Asia Barat dan Eropah mengalu-alukan kemenangan Obama, yang bakal dilantik secara rasmi sebagai Presiden ke-44 pada 20 Januari depan. Beliau disifatkan sebagai pemimpin bijak dan membuka era baru tindak tanduk Amerika di pentas dunia.

Di Kogelo, Kenya, sanak saudara Obama, meraikan berita gembira itu dengan bersorak-sorai, menyanyi dan menari sepanjang malam, manakala seluruh negara itu diberi cuti umum sehari semalam.

Tiada ulasan: