Oleh ZIEMAN
PETALING JAYA: Antara dua tokoh agama yang dicadangkan mengambil alih kerusi 'panas' Mufti Perlis pada awal Disember ini, bekas naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya dikatakan calon 'favourite' di kalangan golongan tertentu.
Ada sumber yang mengatakan populariti Dr Azwira A Aziz, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga tidak kurang hebatnya. Sementelah, personaliti tokoh agama yang muda ini dianggap lebih 'rigid' dan ada cara tersendiri merungkai persoalan agama.
Manakala Dr Juanda pula, yang berketurunan Melanau dan bekas naib Mufti Sarawak ini, dilihat lebih 'liberal' dan lemah lembut keperibadiannya. Lebih menarik lagi, tokoh agama yang berusia 37 tahun ini bukan orang asing di negeri Perlis.
Secara berseloroh, beliau berkata, "orang Perlis lebih awal kenal saya dari Dr Asri sendiri."
Antara Dr Azwira dan Dr Juanda, masing-masing mempunyai ketokohan tersendiri dan merupakan kenalan Asri. Nama kedua tokoh agama ini juga telah dicadangkan oleh Dr Asri sendiri.
Dalam satu temubual dengan mStar Online petang ini, Dr Juanda menyifatkan peluang mengisi kerusi penting di Perlis sebagai 'satu amanah yang besar.'
"Kalau diambil amanah ini, kena tanggung risiko yang besar. Itulah risikonya. Tidak boleh kurang dari apa yang telah dijalankan oleh Dr Asri," jelas Dr Juanda.
Katanya lagi, "Sebelum saya ambil cabaran besar ini, saya kena fikir panjang jugalah kerana kita tahu harapan pihak berkenaan."
Sungguhpun berasal dari Malaysia Timur, Perlis bukan baru bagi Dr Juanda.
"Dr Asri telah membawa kedudukan besar Mufti Perlis itu ke peringkat nasional. Peranan Mufti itu bukan saja dilihat sebagai pemimpin pada masyarakat saja," katanya.
Banyak isu nasional yang dibincangkan bersama Dr Asri.
"Kami banyak berbincang bersama. Isu agama dikupas sehingga mendapat mana yang terbaik. Disebabkan itu keputusan itu selalu ada kekuatan.
"Saya dan Dr Asri ada pemikiran yang sama. Islam perlu dimartabatkan dan fahaman yang salah itu perlu diperbetulkan," jelas tokoh agama kelulusan Universiti Al-Azhar yang kini ketua penolong pengarah di bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak.
Seandainya diberi mandat menggantikan Dr Asri, apakah agaknya arus perubahan yang akan dibawa oleh Dr Juanda yang mendapat Masters dalam Syariah pengkhususan penggubalan Undang-undang keluarga Islam Malaysia dari UKM ini?
"Saya sendiri belum terfikir ke arah itu," katanya lagi.
Pelantikan Mufti Perlis yang baru hanya akan dibuat jika mendapat perkenan pihak Istana. Walaupun begitu, keputusan siapa Mufti Perlis yang baru akan diketahui pada 28 November ini.
Dr Asri yang selalu mendapat jolokan Mufti yang paling lantang dan berani memutuskan untuk bersara mengejut pada 7 Oktober lalu.
Keputusan itu diambil akibat tidak selesa dengan permainan politik oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya yang mana beliau sifatkan seperti bermain silap mata.
Sehari selepas itu, beliau diterima mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasratnya itu.
Menjunjung titah Tuanku, bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama sebulan sebelum berlepas ke United Kingdom selama sembilan bulan pada 1 Disember ini bagi menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan