Mohd Sabri Said
Kemasukan beramai-ramai ahli Umno dari dua cawangan parti itu di Bukit Chempedak dan Labu Besar, Padang Serai semalam membuktikan hilangnya kepercayaan ahli sendiri tambahan lagi di era kekalahan selepas pilihan raya umum lepas.
Sekaligus menandakan sokongan terhadap Ketua Bahagian Umno Padang Serai yang baru mendapat mandat tidak sekukuh mana malahan boleh jatuh bila mana sokongan terhadapnya kian menurun pada masa depan.
Melihatkan senario terkini, pastinya memaksa beliau bertindak drastik termasuk melakukan 'pujukan' terhadap golongan yang mengatakan ketidakpuasan hati ekoran kepincangan dan penyelewengan yang tidak di atasi.
Harakahdaily yang kesempatan bersama 51 orang yang bertindak demikian semasa pertemuan dengan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Padang Serai, Hamid Othman di Bukit Chempedak mendapati keresahan yang memuncak ahli sendiri mendorong mereka untuk melakukan pembaharuan.
Keresahan mereka dikatakan berpunca daripada kemelut dalaman parti seperti penyelewengan, pemimpin yang berkepentingan, bolot peruntukan dan sebagainya.
Sedangkan, sebagai pemimpin mereka mesti bersikap adil kepada semua masyarakat termasuk ahli parti lain.
Kemasukan beramai-ramai itu pastinya melemahkan pergerakan dua cawangan Umno terbabit kerana yang tinggal hanyalah kepimpinan bukan lagi jentera yang bertungkus lumus menjayakan kemenangan selama ini.
Sebelum ini pun sudah ada kalangan ahli Umno di situ telah bertukar bendera secara senyap-senyap kerana sudah bosan dengan telatah kepimpinan serta budaya politik wang dalam Umno yang sukar dibendung.
Apa yang dikesalkan oleh Pengerusi Displin Umno, Tengku Ritaudeen juga dirasai oleh ahli diperingkat akar umbi ekoran terlalu biasa melihat helaian wang diraih oleh orang tertentu yang agak pandai melobi atau bersembang di kedai kopi.
Akhirnya golongan itu yang kembung poket berbanding ahli biasa yang hanya melihat dengan putih mata gelagat sesetengah kepimpinan yang ada walhal jika diukur kerja buat untuk menaikan nama parti terutamanya waktu pilihanraya golongan terbabit hanya bertindak sebagai pengarah.
Lebih membosankan, ada antara mereka sanggup meninggalkan 'tahi' dengan melakukan beberapa perkara yang tidak disenangi masyarakat yang akhirnya menyaksikan Umno kecundang bersama calon yang dipertandingkan. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan