Ahad, 9 November 2008

7 artikel Raja Petra ditulis di Kamunting dipos waktu terdekat

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Pengendali Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin, yang dibebaskan kelmarin daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menghasilkan tujuh artikel yang menyentuh pelbagai parti dan personaliti negara ini.

Artikel-artikel berkenaan yang menyentuh perkembangan semasa dihasilkan ketika berada dalam tahanan hampir dua bulan dan akan disiarkan menerusi laman webnya dalam waktu terdekat, kata beliau yang turut dikenali dengan gelaran RPK.

"Saya juga berfikir apa yang akan saya buat sekarang... apa yang perlu saya tulis dalam blog saya.

"Semasa berada dalam di kem (tahanan) Kamunting, saya sempat menulis enam hingga tujuh artikel dan saya akan menunggu masa yang sesuai untuk menerbitkannya dalam Malaysia Today," kata beliau ketika ditemui mStar Online di rumahnya di Sungai Buloh petang semalam.

Sambil menjelaskan yang beliau tidak tidur sejak dibebaskan petang kelmarin, Raja Petra berkata, beliau secara terus-menerus menerima kunjungan dan mengunjungi kawan-kawasan dan saudara-mara sejak dibebaskan 3.20 petang.

Raja Petra yang terkenal kerana tulisan-tulisannya yang kritikal dan kontroversi, yang membawa kepada penahanan di bawah ISA dan Akta Hasutan menambah:

"Bukan mudah menjadi penulis kontroversi seperti saya. Risikonya tetap ada... mungkin ditahan di bawah ISA tapi mereka tidak akan dapat merasai apa yang saya rasa semasa ditahan di Kamunting.

"Masyarakat suka melihat sedikit pertelingkahan. Saya menentang kerajaan, masyarakat suka melihatnya, cuma yang perlu difikir balik adalah sejauh mana mereka komited untuk turut serta dalam apa yang diperkatakan."

Beliau yang turut berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta Hasutan, kes yang sedang dibicarakan mengakui bahawa tidak ramai yang berani bersuara untuk menegakkan kebenaran.

"Laman web Malaysia Today memprovokasi masyarakat... ada perkara yang menyentuh sensitiviti tertentu, anda akan ditahan... ibarat menjolok sarang tebuan, kadang-kadang kita akan disengat.

"Tapi itu adalah cara untuk mengajak masyarakat agar bersama-sama bersatu untuk membetulkan keadaaan," katanya.

Mengulas lanjut pendirian dan sikapnya dalam tulisan dihasilkan selama ini dan selepas dibebaskan, beliau berkata, "hakikatnya saya menulis untuk mengkritik agar masyarakat mempunyai kesedaran tentang isu-isu sejagat."

"Saya tidak hanya menghentam kerajaan, saya juga ada mengkritik PAS. Ini termasuklah artikel terbaru yang saya tulis semasa di Kamunting, saya ada tulis tentang Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dan pemimpin PKR) biarpun dia kawan saya, saya tidak peduli siapa pun anda.

"Saya juga ada mengkritik PAS, orang Melayu, Cina dan India... saya mengkritik semua pihak jika saya rasa apa berlaku itu tidak betul," katanya lagi.

Beliau menarik perhatian bahawa terlalu ramai yang mengkritik kerajaan tapi mereka hanya bercakap tanpa mengambil apa-apa tindakan.

"(Misalnya) bila ditanya siapa yang mereka undi, mereka kata mereka tidak mendaftar sebagai pengundi. Mereka yang mengkritik kerajaan paling banyak adalah mereka yang tidak mengundi pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Dalam temu bual ini, beliau juga menyentuh pentingnya negara dipimpin oleh barisan kepimpinan muda.

Antara nama-nama disentuh beliau ialah Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Exco Pemuda Umno, Datuk Muhkriz Tun Dr. Mahathir dan anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah serta

"Kita perlu beri peluang yang lebih banyak kepada golongan muda untuk memerintah negara kerana mereka yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

"Saya suka melihat Umno sekarang, pemimpin-pemimpin muda seperti Khairy (Jamaluddin) dan Mukhriz (Mahathir), mereka perlu diberi peluang untuk ke depan.

"Pemimpin yang berusia perlu bagi peluang kepada mereka ini. Saya tahu walaupun Khairy tidak suka dengan saya tapi dia menyokong untuk menghapuskan ISA.

"Ini satu perkara yang menjadi titik persamaan kebanyakan perubahan yang dimahukan oleh rakyat.

"Saya tidak kisah jika dia tidak suka saya. Saya bukan menyokong dia cuma apa yang perlu dilihat apa yang masyarakat mahukan," katanya.

Kata Raja Petra, beliau melahirkan sokongan kerana mereka merupakan golongan muda yang mempunyai pendidikan tinggi.

"Mereka ini yang akan membawa kita lebih maju ke hadapan. Bukan hanya mereka sahaja, kita ada Puteri Reformasi, Nurul Izzah, Hanna Yeoh (ADUN Subang Jaya) mereka ini boleh jadi pemimpin yang berwibawa dengan pendidikan dan kebolehan yang mereka miliki," katanya.

Khairy, Mukhriz, Nurul dan Hanna merupakan wakil rakyat penggal pertama dengan memenangi kerusi dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Katanya, negara dan rakyat tidak boleh menoleh ke belakang kerana Malaysia bukan lagi berada di era 1969 yang menyaksikan pergolakan perkauman.

"Masyarakat hari ini sudah bijak dan berfikiran terbuka," jelas beliau.

Tiada ulasan: