Sabtu, 14 Januari 2017

Terima kasih sebarkan, inilah bukti kami telus


Annuar Musa
Annuar Musa
 
BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa 'berterima kasih' kepada pihak yang menyebarkan surat menyurat, baucar di antara pasukan bola sepak The Red Warrior (TRW) dan UniKL.

Menerusi catatan di laman Facebooknya, Annuar berkata, dengan tersebarnya perkara itu, ianya menunjukkan kedua-dua pihak telah melakukan perjanjian dengan telus dan teratur.

"Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar-menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain. Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain, semuanya dibuat secara tertib dan berperaturan.

"Kini terbukti penyertaan UniKL dalam tajaan/pakej komersial TRW dibuat secara terbuka, diisytihar dan diumumkan kepada orang ramai, malah majlis menandatangani perjanjian dibuat di depan khalayak dengan publisiti meluas," katanya.

Justeru tegas Annuar, penyebaran itu membuktikan tidak berlaku sebarang penajaan secara senyap ke atas TRW.

"Nama UniKL terpampang di jersi seperti dalam kontrak, saya bangga tajaan TRW dibuat secara terbuka dan beretika.

"Masih banyak pasukan yang kutip duit dari pelbagai sumber tapi segalanya tersembunyi. Tiada siapa tahu siaa penyumbang. Ada tajaan atau sumbangan kepada pasukan negeri,  ada kepada pasukan kelab, malah ada kepada pasukan milik individu. Itu biarlah ikut cara masing-masing," luahnya.

"Saya bangga TRW sebagai pasukan bolasepak negeri dan mempunyai cara tajaan yang teratur, berdokumen dan telus," tulisnya lagi.

Jelas Annuar lagi, walaupun beliau bukan lagi Presiden Kafa, namun besar harapannya agar TRW kekal sebagai pasukan milik ramai, berurusan secara berintegriti, diurus secara beramanah dan tidak menjadi hak mana-mana individu.

"Kini saya sebagai salah seorang penaja, kita taja selagi TRW bukan milik individu, selagi TRW  telus, selagi TRW boleh memberi nilai komersil," katanya.

Menegaskan lagi mengenai perkara itu, Annuar berkata buat masa ini sebagai penaja beliau masih yakin dengan TRW.

"Insya-ALLAH TRW adalah pilihan kita dalam memberi pulangan komersil dari pakej penajaan yang mereka tawarkan. Bola belum bermula, jersi belum dijual tapi TRW sudah berada di depan dalam pendedahan dan perhatian para pengguna, hebat TRW kan kan?," katanya.


Tiada ulasan: