Isnin, 2 Januari 2017

Selangor perkenal garis panduan lesen niaga ‘Food Truck’

smart-trak1
OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM: Selangor menjadi negeri pertama mengeluarkan lesen perniagaan berkonsepkan ‘Food Truck’ bagi membenarkan pengoperasian perniagaan di beberapa kawasan perbandaran seluruh negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, garis panduan perlesenan niaga dengan konsep tersebut kini dilaksanakan secara menyeluruh untuk tempoh 2017.

“Kerajaan Negeri baru saja meluluskan polisi baru lesen perniagaan ‘Food Truck’ dan ‘Smart Truck’ yang mana Selangor menjadi peneraju dan negeri pertama memperkenalkan lesen dengan konsep ini.

“Dasar ini merangkumi polisi baru terhadap keperluan pengoperasian perniagaan yang boleh dimulakan di seluruh negeri bagi tempoh 2017 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Food Mega Festival, di perkarangan tapak letak kenderaan Stadium Melawati Shah Alam, Sabtu lalu.

Dalam perkembangan itu, peniaga yang berminat untuk menjalankan perniagaan berkonsepkan ‘Food Truck’ boleh membuat permohonan lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasan Tempatan (PBT).

Antara syarat pematuhan lesen adalah kesesuaian lokasi, tidak menyebabkan kacau ganggu dan tidak mengganggu aliran trafik.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengeluarkan garis panduan terkini dan mengarahkan PBT menyusun semula penempatan gerai berpusat di lokasi bersesuaian supaya ia tidak menjejaskan pemandangan, kebersihan dan kesesakan dalam bandar.

Antara lokasi terkini perniagaan makanan berkonsepkan ‘food truck’ yang mula mendapat perhatian umum termasuklah di tapak letak kenderaan Anggerik Mall Shah Alam, Jalan Kenari USJ 1 dan SS 15 Subang Jaya.=EZY=

Tiada ulasan: