Sabtu, 28 Januari 2017

Rakyat ingin perasuah dihukum, bukan sekadar ditahan, kata penganalisis

 
SPRM perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang setiap penahanan akan dibawa ke muka pengadilan.


awangpawi

KUALA LUMPUR: Walaupun menyambut baik siri tangkapan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rakyat tetap ingin melihat mereka didakwa ke mahkamah dan dihukum, kata penganalisis.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, SPRM perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang setiap penahanan tidak akan terhenti di situ.

“SPRM perlu elak persepsi penahanan ini disebabkan pilihan raya umum (PRU) yang semakin dekat.

“Yang ingin dilihat rakyat ialah sejauh mana tangkapan ini berjaya didakwa dan disabitkan oleh mahkamah,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM) itu seperti dipetik Bernama hari ini.

Beliau mengulas amaran dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad kepada ahli politik terlibat rasuah agar menunggu tindakan badan itu.

Dalam warkah terbuka sempena 100 hari memimpin SPRM pada 8 November lalu, beliau juga meningatkan “ahli politik dan pemimpin masyarakat” yang badan itu akan “menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa”.

Sejak siri tangkapan SPRM tahun lalu, masih belum ada ahli politik ditahan dan didakwa atas tuduhan rasuah.

Awang Azman berkata SPRM perlu bukti kukuh bagi mengelakkan ahli politik dan “jerung besar” terlepas daripada tindakan.

Katanya lagi, undang-undang berasaskan fakta dan bukan persepsi semata-mata.

“Isu ‘ikan bilis’ dan ‘jerung besar’ sering berkumandang setiap kali ada tangkapan dan sabitan. Namun ia memerlukan bukti konkrit kerana ada kalanya ia bersifat persepsi semata-mata.

“Hakikatnya undang-undang berteraskan fakta dan bukti yang cukup kuat,” katanya sambil menambah kesilapan teknikal ketika perjalanan kes juga boleh memberi kesan kepada pendakwaan.

Sepanjang Januari, SPRM menahan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Arif Ab Rahman atas tuduhan rasuah serta 5 individu termasuk 2 bekas pegawai kanan Felda bagi kes penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.

Tiada ulasan: