Khamis, 19 Januari 2017

PAS tiada kata putus, PPBM teruskan hubungan dengan PH - Tun M

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memujuk PAS agar menyertai Pakatan Harapan (PH) masih kabur meskipun sudah beberapa kali duduk sepentas.
 
Justeru, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya perlu meneruskan kerjasama dengan PH sebagaimana perjanjian yang sudah dimeterai, 13 Disember lalu.   
 
"Kita akan putuskan dan kita beri masa yang panjang untuk PAS membuat keputusan dan kita telah berunding dengan mereka. Tapi sehingga sekarang mereka tidak beri kata putus.
 
"Jadi kita akan putuskan, sama ada mereka menyertai Pakatan (Harapan) atau tidak, kita akan teruskan rundingan dan kita akan sertai Pakatan Harapan secara satu daripada anggotanya," katanya kepada pemberita selepas hadir di program Warga Putrajaya bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, malam tadi.
 
Beliau sebelum itu ditanya apakah tindakan PAS yang enggan menjalin hubungan bersama Amanah dan DAP bakal menjejaskan hasrat pembangkang menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Amanah dan DAP merupakan parti yang membentuk PH bersama PKR. 
 
PAS sebelum ini menegaskan tidak akan menjalin hubungan dengan kedua-dua parti yang dianggap mereka sebagai musuh dan pengkhianat.
 
Ketika menganjurkan ceramah mega tidak lama sebelum ini, PAS hanya menjemput PKR dan PPBM untuk sepentas dengan mereka.
 
Terbaru, PAS memutuskan tidak menghantar seorang pun wakil ke majlis perasmian PPBM, Sabtu lalu, kerana dua seterunya, Amanah dan DAP turut hadir pada majlis tersebut. 
 
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad, PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran PPBM.
 
Sekalipun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi keperluan untuk pembangkang bersatu, namun kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang mengesahkan partinya masih tiada kata putus bersabit perkara itu, menyukarkan lagi hasrat berkenaan.
 
Sikap dolak dalik PAS itu menyebabkan Dr Mahathir menyifatkan PAS sebagai parti yang memecah-belahkan undi pembangkang dan membawa kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
 
 

Tiada ulasan: