Isnin, 9 Januari 2017

PAS 2017


 
Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Pada hujung 2014, bah besar melanda negeri Kelantan. Sangat besar sehingga tidak mungkin rakyat Kelantan melupainya. Beberapa bulan kemudian, pada pertengahan 2015, bah besar melanda PAS pula. Ia juga besar dan sangat sukar buat ahli PAS melupainya.

Bah besar adalah musibah. Setiap musibah pasti dibilang-bilang sebab dan akibatnya yang buruk-buruk. Tetapi nantinya akan terlihat hikmat dan kebaikan daripadanya. Ia kejadian dan takdir Allah yang selalu saja tersembunyi hikmat dan kebaikannya ditutup keburukan dan kecelakaan di mata kita manusia.
Justeru setiap musibah, selepas keburukannya mereda, ia akan menjadi nafas baru dan kebangkitan semula buat mangsanya. Ia hanya perlu kuat dan yakin. Jika tidak, musibah akan kekal menjadi musibah yang memanjangkan tempoh sedih, salah menyalah dan putus asa.

Kerajaan Kelantan dan rakyatnya telah berusaha bangkit daripada sengsara bah besar tersebut. Impak positif dicari-cari bagi meringankan tanggungan berat rasa terkejut, takut dan sedih. Bantuan semua pihak begitu banyak membantu pemulihan samada material dan kerohanian. Sudah pasti pemulihan terbaik adalah kepasrahan dan keyakinan yang tinggi terhadap kuasa Allah yang maha agong dan betapa dekatnya takdir Allah ke atas manusia.

PAS juga telah melalui proses yang sama. Kejutan perpecahan dan pergelutan amat dahsyat dirasakan. Ia seperti proses salin semula kulit yang amat jarang berlaku dalam parti. Kali terakhir adalah pada awal 80-an semasa konsep kepimpinan ulamak mula dibentuk. Ramai yang keluar parti kerana tidak setuju dan kecewa.

Tetapi PAS masa itu bangkit dengan cepat. Dalam beberapa tahun kemudiannya, ia memacu laju dengan kepimpinan baru yang lebih muda, bersemangat dan mahukan tajdid dan reformasi di dalam parti dan perjuangannya. Kejayaan mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1990 menjadi bukti besarnya impak positif daripada musibah perpecahan dalaman PAS pada awal 80-an itu.

Apa yang berlaku ke atas PAS lebih 30 tahun lepas itu, itulah yang sedang berlaku ke atas PAS hari ini. Bah besar atau musibah pergelutan dalaman yang memuncak pada 2015 itu sudah pun mereda sakan. Walaupun masih dirasai kesannya yang buruk, tetapi impak positif yang merupakan hikmah tersembunyi daripada setiap musibah ciptaan Allah mula tumbuh, berputik dan hampir membuahkan hasil yang baik.

Gema bahawa ahli PAS akan keluar beramai-ramai berakhir dengan pendedahan jumlah ahli PAN yang sedikit dan gagal menepati sasaran awal mereka. Sebaliknya PAS terus menerima pendaftaran ahli baru yang berkali ganda lebih ramai berbanding rekod bilangan ahlinya yang dikesan keluar parti dan masuk PAN. Lebih meyakinkan, pendaftaran ahli baru menyaksikan lebih 70 peratus adalah daripada kalangan anak muda.

Begitu juga, paling menggegarkan adalah keluarnya singa-singa besar PAS daripada PAS. Bermula bekas Timbalan Presiden, naib-naib, AJK PAS Pusat dan nama-nama besar di semua peringkat, PAS diandai akan pecah besar dan berdepan kecelakaan yang boleh meranapkan segala kekuatan yang telah lama terbina. Bagi sesetengah yang sukakan perpecahan ini, mereka menganggap bahawa ia adalah satu hukuman dan balasan yang setimpal ke atas kepimpinan baru PAS dan ahlinya yang menolak kepimpinan lama yang keluar parti kemudiannya.

Tetapi yang pergi telah pun pergi. Ia tidak pula menghalang yang datang untuk terus datang. Kini yang pergi telah dilupai. Nama mereka tidak lagi disebut kecuali sebagai lawan politik yang dipalang oleh perbezaan pandangan yang nyata. Mereka tidak lagi dilihat mewakili pandangan asal PAS, bahkan sebagai bekas penyusup dan penyeludup pandangan dan idea luar yang nyata bertentangan dengan dasar dan prinsip parti.

Kepimpinan baru PAS menyerlahkan tokoh-tokoh baru yang bukan baru di dalam PAS. Mereka telah lama bekerja di dalam dan untuk PAS. Jika ditanya di mana mereka hari itu? Kita hanya perlu menjawab, mereka berada di tempat mana pengganti mereka hari ini yang tidak juga dilihat. Ada kepimpinan yang perlu dilihat seterang-terangnya. Ada kepimpinan dan tempat yang tiada pun keperluan untuk dilihat secara terang-terang. Sampai masanya mereka akan dilihat atau diperlihatkan.

Di dalam PAS, pentarbiyahan mengajar ahlinya agar bekerja dan terus bekerja tanpa perlu mengejar apa-apa untuk dilihat oleh manusia dan dinobat dengan kemasyhuran. Ia kekuatan tersembunyi yang dimiliki PAS semenjak lama. PAS sentiasa elegan dengan elemen kejutannya untuk negara.

Kepimpinan baru PAS adalah memenuhi tuntutan semasa. Selain barisan profesional, aktivis dan ulamaknya yang kompeten, kini lahir para ilmuan dan ahli akademik yang menyumbang secara langsung untuk PAS. Tenaga yang pernah menyumbang di universiti dan institusi ilmiah daripada yang berjawatan profesor, doktor falsafah dan pakar kini seiring sederap melangkah di medan siyasah yang lebih mencabar yang memerlukan penguasaan dari segenap segi dan segmen kegiatan dan aktiviti masyarakat yang pelbagai dan rencam.

Kekuatan dan energi inilah yang memungkinkan PAS secara berani memperkenalkan satu pendekatan dan strategi baru yang lebih berdaya saing memacu perjuangan PAS yang bertunjangkan dasar dan prinsip Islam yang nyata. Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) dilancarkan oleh PAS bersama beberapa komponen sokongan lain yang bertujuan memahamkan dan menarik rakyat Malaysia untuk turut mendukung hala tuju perjuangan PAS ke arah membina negara Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

Beberapa ciri dan kriteria utama di dalam BPMS seperti politik berprinsip, dakwah, berfakta, aman, berpenyelesaian Islam dan beberapa lagi, walaupun bukanlah suatu yang asing di dalam politik PAS, tetapi melalui BPMS, ia diperkasakan dan dijadikan satu budaya yang diharap mampu menjadi senjata utama di dalam membawa budaya politik negara yang lebih baik.

Kerana politik berprinsip dan berfaktalah, PAS mengambil pendirian menolak bekerjasama politik dengan DAP dan PAN. Kerana prinsip dakwah dan amanlah PAS meredakan ketegangan dengan Umno BN. Kerana politik berfakta yang menolak persepsi palsu dan berpenyelesaian Islamlah PAS memilih untuk menyokong dan membangkang sesuatu isu dan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Budaya politik sejahtera juga menjemput PAS untuk terus meningkatkan jalinan hubungan dengan semua institusi rakyat yang dibentuk melalui jabatan-jabatan kerajaan dan NGO-NGO yang menyumbang kepada kebangunan dan kemajuan negara. PAS yakin semua pihak harus dan mesti diberi hak dan peluang untuk memberi dan menyumbang.

Mungkin bagi sesetengah ahli dan penyokong PAS, ia kelihatan mengelirukan. Tetapi melalui proses pembudayaan yang mungkin memakan masa yang tidak pendek, lama-kelamaan kekeliruan itu akan berganti kejelasan dan keyakinan terhadap pendekatan baru PAS tersebut.

Mendepani cabaran 2017 yang dilihat oleh kebanyakan pengamat politik sebagai tahun diadakan PRU14, PAS begitu yakin bahawa PAS adalah pilihan terbaik untuk rakyat dan negara. Segala kekusutan yang melanda negara mestilah diatasi dengan penyelesaian yang kukuh dan lestari. Ia adalah penyelesaian Islam yang jelas, mudah, adil dan menaungi kebenaran.

Seluruh jentera kerja PAS mestilah bergerak seiring memastikan kejayaan parti PAS. Lupakan musibah lepas yang melanda. Ia lumrah perjuangan yang harus ditempuhi dengan kesabaran, keyakinan, azam dan tawakkal. Semoga Allah mengurniakan istiqamah hingga akhir nanti.

Tiada ulasan: