Isnin, 9 Januari 2017

Hospital Selayang dilengkapi teknologi tercanggih dalam negara

DETIK DAILY


 
KUALA LUMPUR: Pesakit kini boleh mendapat manfaat daripada teknologi tercanggih di Malaysia menggabungkan kaedah angiografi dan CT Scan iaitu mesin Angio-CT Hibrid di Hospital Selayang di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Zailan Adnan berkata dengan menggunakan sistem hibrid menggabungkan kedua-dua kaedah, pesakit boleh diimbas serta merta selepas prosedur untuk menilai keberkesanan rawatan dan menyediakan baseline untuk imbasan susulan seterusnya.

"Pesakit tidak perlu dipindahkan dari meja atau ke bilik lain untuk tujuan ini. Tempoh prosedur juga dipendekkan, justeru mengurangkan masa menunggu keseluruhan," kata beliau pada majlis perasmian Unit Angiografi dan mesin Angio-CT Hibrid, di Hospital Selayang pada Jumaat.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan dihadiri oleh Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh.

Dr Zailan berkata selain meletakkan ubat di organ dalaman di kedudukan yang tepat tanpa menjalani pembedahan utama, mesin Angio-CT Hibrid akan mengurangkan pendedahan radiasi kepada kakitangan yang bekerja di ruang intervensi.

Beliau berkata perkhidmatan angiografi dimulakan di Hospital Selayang pada 2009 tetapi pada tahun 2013 ia sering mengalami kerosakan sehingga ia diisytiharkan tidak dapat dibaiki.

Sementara itu, Dr Subramaniam pada sidang media selepas majlis tersebut berkata mesin yang berharga RM10 juta itu telah digunakan di Hospital Selayang sejak Oktober 2016 dan ia mampu memberi rawatan sehingga 10 kes dalam sehari.

Katanya kerajaan berhasrat memperluaskan penggunaan mesin itu ke hospital lain sekiranya mempunyai bajet.

Dalam pada itu Subramaniam berkata selain Hospital Selayang, setakat ini mesin angiografi telah diletakkan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Ampang dan Institut Kanser Negara.

"Mesin angiografi juga diletakkan di hospital negeri yang besar meliputi zon serantau seperti Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah untuk zon Utara, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu (zon Selatan), Hospital Umum Sarawak di Kuching dan Hospital Queen Elizabeth di Sabah (zon Malaysia Timur)," katanya. 
Beliau berkata setakat ini terdapat 11 pakar Intervensional Radiologi di seluruh negara yang memberi diagnosis dan rawatan dengan teknik invasif yang minimal dengan kaedah panduan fluoroskopi.

Sementara itu, enam lagi pengamal perubatan sedang mengikuti kursus dalam bidang ini, katanya. -- Bernama
 

Tiada ulasan: