Rabu, 18 Januari 2017

Nak bantah Himpunan 355 hak mereka, kata Nasrudin Hassan


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI – Rancangan satu kumpulan yang menggelar diri mereka BEBAS dan mahu menganjurkan perhimpunan balas, bertujuan menolak dan menentang usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 adalah hak mereka, kata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, sukar untuk memastikan 100 peratus manusia menyokong apa yang mahu dilakukan, namun beliau berdoa agar mereka tidak perlu membantah, sebaliknya menukar sikap untuk menyokong.

Malah katanya, Perhimpunan H355 bukan untuk menimbulkan suasana huru hara, penghinaan atau mencetuskan ketegangan.

Dalam bermadah beliau berkata, Himpunan 355 ini tidak perlu dibantah sebaliknya disokong, tidak perlu dicurigai sebaliknya disertai dan ia juga tidak perlu dibimbangi sebaliknya disantuni.

“Perhimpunan H355 tiada kebencian, tiada amarah, tiada provokasi, tiada pengkhianatan, tiada penghinaan, tiada sabotaj, tiada huru hara, tiada gangguan dan tiada ketegangan.

“Sebaliknya apa yang ada ialah penyebaran kasih sayang, persahabatan, saling menghormati antara agama dan kaum, tertib, menyemarak semangat Amal Islami, mengeratkan silaturrahim, mengimarahkan ibu kota dengan akhlak mulia, menyuburkan perjuangan Islam, menjulang keadilan dan mewujudkan rakyat Malaysia yang aman dan sejahtera.

“Kami berhimpun mengangkat tema Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera. Kami berhimpun mewakili seluruh rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian, keharmonian, ketenangan, persahabatan, kesejateraan dan persaudaraan.

“Kami berhimpun mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada. Menghormati hak orang lain,” katanya.
Sebelum ini, BEBAS berkata, mereka juga akan mengadakan perhimpunan yang dipanggil ‘Rakyat Malaysia tolak Usul Hadi’ pada 18 Februari depan, serentak dengan tarikh Himpunan RUU 355 anjuran PAS.

Mereka menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk menyertai mereka, membantah usul yang dibawa Abdul Hadi yang didakwa sebagai ‘pintu’ kepada pelaksanaan hudud.


Tiada ulasan: