Selasa, 10 Januari 2017

Kerajaan Pulau Pinang pertimbang hadiah istimewa kepada Faiz Subri

 

Roketkini.com / foto Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang 


GEORGE TOWN: Susulan kejayaan merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 pagi tadi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk memberikan hadiah istimewa kepada penyerang pasukan bola sepak negeri itu, Mohd Faiz Subri.

Mengumumkan perkara berkenaan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Faiz telah berjaya mengharumkan nama negara di persada bola sepak dunia dengan menjadi pemain Asia pertama menerima anugerah berprestij itu.

Pencapaian luar biasa Faiz, katanya, amat dibanggakan serta harus menjadi contoh kepada semua pihak, khususnya anak muda yang mahu memahat nama di arena antarabangsa.

“Saya percaya, kejayaan dicapai beliau boleh diteladani khususnya anak-anak muda. Untuk menempa kejayaan seperti Faiz, tidak ada jalan pintas. Beliau telah berusaha keras, rajin dan berdisiplin.

“Faiz memang seorang yang gigih dan bekerja kuat, beliau telah menjalani banyak latihan. Dan disiplin beliau telah membawa kejayaan yang gemilang ini,” katanya yang turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada anak muda berusia 29 tahun itu.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah menganugerahkan insentif berjumlah RM10,000 kepada Faiz sebagai tanda menghargai jaringannya yang dianggap ‘ajaib’ itu.

Jaringan itu dilakukan beliau ketika perlawanan menentang Pahang dalam saingan Liga Super pada 16 Februari lalu yang kemudiannya menjadi viral di media sosial dan membolehkan beliau tercalon.

Faiz memperoleh undian tertinggi sebanyak 59.46 peratus untuk jaringan gol terbaik dunia mendahului pesaing sengitnya Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil ( 22.86%) dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela  (10.01%). – Roketkini.com


Tiada ulasan: