Jumaat, 13 Januari 2017

Tidak tahan ‘ditindas’ PBT, pemilik mahu tutup Kafe Kaffa King

Ooi berkata, beliau terpaksa menghantar pekerjanya ke kafe lain dan menamatkan perniagaan Kaffa King kerana tidak tahan dengan tindakan PBT.


kaffa-king


PETALING JAYA: Tidak tahan dengan “penindasan” pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang, Datuk Patrick Ooi yang lantang mengkritik pemimpin negeri itu mahu menutup Kafe Kaffa King di Lebuh China, George Town selepas sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Beliau yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata, 4 kafenya “kebetulan” diserbu PBT secara bergilir-gilir, malah Kafe Kaffa King yang mempunyai tahap kebersihan 88 markah turut dikenakan kompaun, selepas beliau mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau mendakwa dirinya ditindas dan pekerjanya perlu bekerja dalam ketakutan setiap hari kerana bimbang PBT akan menyerbu premis itu.

Katanya, Kaffa King yang mula beroperasi 7 tahun lalu dan perubahan hanya bermula selepas beliau mengambil alih kafe itu 2 tahun lalu.

“Sejak saya ambil alih Kaffa King, permohonan lesen restoran tidak diluluskan, kini di bawah tahap kebersihan mencapai 88 markah, tetapi mereka dakwa tahap kebersihan tidak capai piawaian kerana ada tahi tikus di dinding koridor belakang,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Bulan lalu, FMT melaporkan PBT merobohkan sebuah tandas dalam Kafe Kaffa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kerana “pembinaan haram”, pada 20 Disember lalu.

Pada 24 Disember lalu pula, Nanyang Siang Pau memetik Ooi yang juga pemilik Kafe Kaffa sebagai mendakwa PBT menjalankan pemeriksaan ketat ke atas 3 cawangan kafenya di Pulau Pinang dan Seberang Prai untuk mencari kesalahan, selepas beliau mengkritik seorang pemimpin Pulau Pinang di surat khabar Cina.

Malah, penguat kuasa turut mengeluarkan kompaun kepada beliau atas kesalahan “memiliki tumbuh-tumbuhan menarik serangga perosak”.

Kini, Ooi berkata, beliau terpaksa menghantar pekerjanya ke kafe lain dan menamatkan perniagaan Kaffa King kerana tidak tahan dengan tindakan PBT.

Beliau turut mempersoalkan tindakan PBT mengeluarkan kompaun kepada Kaffa King kerana tiada lesen perniagaan, sedangkan kafe itu mempunyai permit hiburan dan menjual minuman beralkohol.

Katanya, penguat kuasa PBT memberi alasan alat penapisan kafe itu tidak menepati piawaian ketika menolak permohonan permit restoran mereka.

Bagaimanapun, Ooi berkata, kafe itu kemudiannya diberikan permit sementara selepas dikompaun akibat tidak memasang alat penapisan yang dijual pembekal ditetapkan PBT.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong yang dipetik akhbar sama berkata, MBPP tidak pernah mengeluarkan sebarang permit restoran sementara.

Katanya, MBPP turut membatalkan syarat pengusaha premis makanan perlu memasang alat penapisan yang dijual pembekal ditetapkan mereka kerana mahu mengelakkan salah faham orang ramai.

“Permit hiburan dan menjual minuman beralkohol itu diperolehi melalui kerajaan negeri, bukan di bawah bidang kuasa MBPP. Permit hiburan itu dimohon secara terus kepada kerajaan negeri, selepas mereka terima baru majlis bandaraya keluarkan permit berkenaan.”

Tiada ulasan: