Jumaat, 6 Januari 2017

Buka semula kes SRC dan dakwa Najib, kata Ezam

Pengerusi HISBAH Centre For Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor. - Gambar fail NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
Pengerusi HISBAH Centre For Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor. – Gambar fail NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

KUALA LUMPUR – Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Mohd Ezam Mohd Noor mendesak agar Peguam Negara Apandi Ali membuka semula siasatan kes terhadap SRC International (SRC) dan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak.

Ezam mendakwa, alasan siasatan SRC sebelum ini ditutup kerana tiada kes adalah tidak munasabah sebaliknya ianya ditutup kerana mempunyai asas yang kuat untuk mendakwa Najib.

“Kes SRC ditutup bukan kerana tiada asas tetapi kerana asasnya terlalu kuat untuk sabitkan Perdana Menteri sendiri sebagai pihak yang bertanggungjawab.

“Antara bukti kes adalah akaun bank Perdana Menteri sendiri yang jelas wujud kemasukan puluhan juta ringgit duit SRC, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan (MOF) sendiri,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas senator Umno itu berkata, Hisbah Centre percaya rakyat dan dunia mempunyai alasan yang amat kukuh untuk mempercayai apa yang sebenarnya berlaku didalam siasatan kes SRC ini adalah satu penyelindungan peringkat tertinggi negara hanya untuk selamatkan seorang Perdana Menteri yang jelas telah melakukan jenayah.

“Peguam Negara wajib membuka semula kes ini dan mendakwa PM segera!” katanya.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan semalam mendakwa tiada pendakwaan dilakukan dalam siasatan membabitkan SRC kerana tiada kes untuk disabitkan.

Ezam dalam kenyataannya bagaimanapun membidas Abdul Rahman, dan berkata, kenyataan ahli Parlimen Kota Belud itu adalah bodoh dan tidak bertanggungjawab.

“Perdana Menteri dan jenteranya terpaksa berhenti menipu rakyat setelah pasukan penyiasat menjumpai bukti kemasukan puluhun juta ringgit dari sumber yang jelas iaitu SRC kedalam akaun Najib.

“Seluruh dunia melihat bagaimana Najib cuba melarikan diri dari tanggungjawab dengan mengatakan tidak tahu menahu wang itu dimasuk ke akaunnya.

“Seluruh dunia kewangan dan perundangan juga tahu alasan tidak tahu tidak boleh menjadi alasan untuk bebas dari dakwaan jenayah, yang tidak tahu hakikat ini adalah konco-konco pemakan dedak Najib termasuk menteri-menterinya yang bebal seperti Abdul Rahman Dahlan ini,” kata Ezam.

Beliau berkata, tindakan bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahri Mohamad Zain sebenarnya mempunyai asas.

“Yang tidak berasas adalah kenyataan bodoh menteri penjilat dan pembodek Perdana Menteri yang sudah jelas terpalit dangan salah guna kuasa dan rasuah.”

Tiada ulasan: