Ahad, 15 Januari 2017

Belum ada kata muktamad kerjasama PAS-PPBM, kata Idris

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Masih belum ada kata putus berhubung rundingan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ujar Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengulangi keperluan untuk partinya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan PAS.
 
Muhyiddin ketika berucap sempena majlis pelancaran PPBM malam tadi menyeru pembentukan gabungan politik yang mantap antara PAS, PPBM dan PH dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Kita sudah ada Gagasan Sejahtera dan kita juga ada rundingan dengan PPBM. Itu sahaja. DAP dan PAN (Amanah) sehingga ke hari ini tidak ada (kerjasama).
 
"Sekarang kita masih adakan rundingan (dengan PPBM). Parti belum bincang secara muktamad lagi," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Muhyiddin, ketika berucap di majlis perasmian partinya malam tadi menekankan keperluan rundingan bersama parti-parti di luar gabungan PH-PPBM untuk diteruskan bagi membentuk kerjasama yang kuat.
 
Ketika berucap di pentas PAS sebelum ini, Muhyiddin pernah menyuarakan hasrat yang sama supaya gabungan pembangkang mampu mewujudkan gelombang perubahan yang besar ke arah pembentukan kerajaan baru dalam pilihan raya tidak lama lagi.
 
Namun begitu hasrat Muhyiddin kelihatan tidak senada dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membayangkan PAS sebagai parti yang mungkin memecah-belahkan undi pembangkang dan membawa kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
 
Sementara itu, Idris ketika diajukan perihal kehadiran Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ke majlis berkenaan malam tadi, enggan mengulas lanjut. 
 
"Tidak apalah, itu pandangannya. Biar dia," katanya ringkas. 
 
Mahfuz adalah satu-satunya pemimpin PAS yang hadir ke majlis perasmian PPBM itu atas kapasiti peribadi.
 
Bekas Naib Presiden PAS itu turut menyelar partinya kerana tidak menghantar seorang pun wakil ke majlis berkenaan, dan menyifatkannya sebagai 'memburukkan lagi keadaan'.
 
 

Tiada ulasan: