Isnin, 1 Ogos 2016

Ya kami tewas tapi apa yang kamu ada?

TMJ
Tunku Ismail
 

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, walaupun ada pihak yang gembira dengan kekalahan Johor Darul Ta’azim (JDT) ke atas Perak, namun pasukannya itu telah memperoleh dua trofi dalam simpanan sendiri.

Tunku Ismail berkata, kejayaan kelab bola sepak tidak diukur berdasarkan kemenangan atau kekalahan dalam sesuatu perlawanan tetapi melalui kemajuan pasukan seperti memenangi piala, kekuatan kewangan serta pencapaian secara keseluruhan.

“Ini caranya kita menilai kejayaan. Walaupun anda begitu gembira kerana JDT tewas 3-0 dalam saingan Piala Malaysia, tidakkah anda sedar bahawa kami sudah memiliki dua trofi dalam simpanan kami untuk tahun ini?

“Walaupun ramai gembira kerana JDT tewas 3-0, di manakah kedudukan anda dalam liga?,” soalnya menerusi kemas kini status di laman sosial Johor Southern Tiger hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, walaupun ada pihak berharap agar JDT tewas dalam persaingan liga tahun ini, kelab ini sudah pun berada dalam pertandingan AFC tahun hadapan berikutan kejayaan memenangi Piala FA.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya juga dijemput ke Sepanyol bagi menghadiri Sidang Kemuncak Dunia Bola Sepak manakala jurulatihnya, Mario Gomez juga dijemput ke China untuk menyertai Bengkel Kejurulatihan yang khusus buat barisan jurulatih terkemuka di Asia.

“Pencapaian bagi kami adalah mencipta sejarah. Pencapaian bagi anda adalah menewaskan kami.

“Kami bermain dalam empat pertandingan dan hanya tewas dua kali. Jadi beritahu saya jika ini adalah kelab yang terbaik di negara ini atau tidak,” katanya.

Sehubungan itu, Tunku Ismail turut mengingatkan pengendali laman web bola sepak tempatan yang menulis laporan negatif mengenai JDT bahawa tindakan sedemikian tidak akan membuat kelab berkenaan berhenti daripada berkembang.

“Semasa anda sibuk menulis dan menghantar komen menghina di internet, kami sedang menikmati kehidupan.

"Sementara anda berdoa agar JDT tewas dalam liga tahun ini, kami sudahpun berada dalam pertandingan AFC tahun  kerana JDT telah memenangi Piala FA. Sekiranya anda menyatakan bahawa JDT memenangi Piala AFC secara 'menang nasib'. AFC sebaliknya iaitu mengiktiraf kejayaan JDT.

“Kami diberkati dengan rezeki yang ALLAH kurniakan dan berada pada kedudukan untuk melihat serta merasai sesuatu yang anda tidak akan dapat lihat atau rasa,” katanya.

Sebelum ini, Perak berjaya menumpaskan JDT 3-0 dalam kempen Kumpulan C, Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Ipoh.


Tiada ulasan: