MALAYSIAKINI
Semua pihak dalam Umno dan BN tidak seharusnya leka dan terbuai
dengan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar Jun lalu,
demikian pesanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno berkata ini kerana terdapat
banyak pihak yang sememangnya tidak senang melihat kejayaan parti itu
dan sentiasa berusaha untuk menggugatnya.
"Saya menasihati diri saya dan semua pihak dalam Umno dan BN supaya
jangan terbuai dengan kemenangan ini kerana strategi dalam PRK dan
Pilihan Raya Umum (PRU) berbeza, senario politik juga berbeza.
"Rasa terbuai ini harus diketepikan walaupun kita rasa seronok dengan
kemenangan ini kerana untuk menempahnya sukar, tapi untuk
mempertahankannya itu lebih sukar," katanya ketika berucap di majlis
pada majlis kesyukuran dan jamuan Hari Raya Aidilfitri Umno/BN negeri
Perak di Kuala Kangsar malam tadi.
Dalam PRK Kuala Kangsar 18 Jun lalu, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid
berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu setelah menewaskan tiga calon
lain dengan memperoleh majoriti 6,969 undi.
Mastura, 55, yang juga isteri Allahyarham bekas anggota Parlimen Kuala
Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, memperoleh 12,653
undi menewaskan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684;
calon Parti Amanah Negara Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan calon
bebas Izzat Bukhari Ismail Bukhari (54).
Jelas Ahmad Zahid, putaran politik semakin berbeza setiap masa dan ia
menuntut semua pihak dalam parti sama ada Umno atau BN terus berusaha
untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU14 yang mungkin diadakan
selewat-lewatnya dua tahun lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata cara terbaik untuk mendepani semua
cabaran itu adalah dengan memiliki kesatuan pemikiran, hati nurani serta
tindakan.
"Saya merasakan bahawa semua daya tahan dan daya saing yang ada pada
kita sukar diterjemahkan, Tapi kita yakin, kita berada dalam wadah yang
kukuh," katanya.
Selain itu, timbalan perdana menteri turut mengingatkan kepimpinan Umno
dan BN di Perak supaya membimbing dan membantu Mastura dalam menjalankan
tugas sebagai anggota Parlimen sekali gus memastikan kerusi Kuala
Kangsar kekal milik BN pada PRU14.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 orang itu, Ahmad Zahid turut
merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry
Abd Kadir atas kerja keras dalam PRK Kuala Kangsar.
"Saya yakin Zambry dan Umno akan dapat menempah kejayaan dalam PRU
akandatang kerana beliau ikhlas bekerja selain mempunyai daya tahan yang
cukup tinggi," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan